
MELAKA BUKAN SEKADAR DESTINASI SEKALI DATANG
AYER KEROH 6 September – Melaka mahu terus dikenali sebagai destinasi pelancongan yang sentiasa hidup dengan pelbagai acara bagi menggalakkan pengunjung kembali menikmati keunikan warisan, budaya dan makanan negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, penganjuran pelbagai program secara berterusan merupakan antara pendekatan Kerajaan Negeri bagi memastikan Melaka kekal menjadi pilihan pelancong, bukan sekadar destinasi yang dilawati sekali.
“Kepelbagaian acara yang dianjurkan turut memberi peluang kepada pengunjung merasai sendiri kemeriahan rakyat serta pengalaman berbeza setiap kali berkunjung ke negeri ini.
“Inilah sebabnya Kerajaan Negeri terus membawa masuk dan menganjurkan acara berskala besar. Kita mahu Melaka sentiasa hidup, destinasi pelancongan terus dikunjungi dan ekonomi rakyat terus bergerak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Konsert Jom Heboh di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, malam tadi.
Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh serta Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.
Turut hadir Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat dan Ketua Pengarang Kumpulan Berita dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad Datuk Azhari Muhidin.
Ab Rauf berkata, kehadiran pelbagai acara berskala besar menjadi nilai tambah kepada produk pelancongan negeri, selain membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.
“Pendekatan ini selari dengan usaha Kerajaan Negeri untuk memperkukuh kedudukan Melaka sebagai destinasi pelancongan menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung sepanjang tahun,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

