HAMPIR 100,000 GAMATKAN KARNIVAL ANAK MUDA MELAKA 2026

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 6 September – Hampir 100,000 pengunjung memeriahkan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 sepanjang tiga hari penganjurannya, kata Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, ia sekali gus membuktikan sambutan dan sokongan luar biasa anak muda dalam program anjuran Kerajaan Negeri.

Jelas beliau, sepanjang tiga hari penganjurannya, pelbagai pengisian telah disediakan antaranya, pesta makanan, townhall, permotoran dan sukan, hinggalah kepada kerjaya, TVET, teknologi dan keusahawanan.

“Setelah tiga hari bumi bertuah Melaka menggamit dunia, akhirnya kita sampai ke kemuncak Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 dalam suasana yang cukup luar biasa.

“Dianggarkan hampir 100,000 pengunjung telah memeriahkan karnival ini sepanjang tiga hari dan petang ini kemeriahannya semakin terasa apabila lebih 15,000 anak muda, khususnya keluarga besar komuniti permotoran, berhimpun bersama-sama kita di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Jom Heboh yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Zon B Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta lain-lain kenamaan.

Ab Rauf berkata, kemuncak sambutan berkenaan menjadi lebih bermakna apabila diserikan dengan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, sekali gus menambah warna dan kemeriahan karnival berkenaan.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri dan seluruh anak muda Melaka, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri kerana sudi meluangkan masa untuk hadir dan turun bersama anak-anak muda Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

335
Kongsi :
Previous post AYER LIMAU TERIMA LIMA MENARA TELEKOMUNIKASI SEJAK 2022
Next post BERUNDING ELOK-ELOK, PILIH ‘PARTNER’ YANG IKHLAS DAN JUJUR – AHMAD ZAHID