MELAKA PERLUKAN TENAGA, IDEA DAN SEMANGAT ANAK MUDA

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 6 September – Melaka memerlukan tenaga, idea, keberanian dan semangat anak muda untuk bersama-sama menggerakkan pembangunan serta menentukan hala tuju masa depan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, generasi muda bukan sekadar penerima manfaat daripada pembangunan yang dilaksanakan, sebaliknya mempunyai peranan penting untuk menyumbang kepada kemajuan negeri.

Katanya, justeru anak muda perlu memanfaatkan pelbagai platform yang disediakan Kerajaan Negeri bagi mendapatkan ilmu, membina jaringan dan meneroka peluang sebelum kembali menyumbang kepada masyarakat.

“Kepada seluruh anak muda Melaka, teruslah bersama-sama saya membina negeri yang kita cintai ini. Tenaga anda Melaka perlukan. Idea anda Melaka perlukan. Keberanian dan semangat anda juga Melaka perlukan.

“Saya mahu anak muda Melaka berbangga menjadi anak Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Jom Heboh yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi di Zon B Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Penyelaras Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, penganjuran Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 dirangka bukan sekadar sebagai medan hiburan dan perhimpunan, tetapi platform untuk golongan muda mendapatkan sesuatu yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan.

“Inilah makna sebenar Karnival Anak Muda yang kita mahukan. Bukan sekadar datang untuk berhibur dan berkumpul, tetapi pulang membawa sesuatu, sama ada peluang pekerjaan, jaringan perniagaan, ilmu baharu atau sekurang-kurangnya satu idea tentang ke mana mereka mahu membawa masa depan sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Menteri berkata, kehadiran Timbalan Perdana Menteri pada kemuncak karnival berkenaan turut menjadi pengiktirafan terhadap nilai suara, bakat dan masa depan generasi muda.

“Kepada anak-anak muda yang berada di hadapan saya hari ini, manfaatkanlah peluang apabila Timbalan Perdana Menteri sendiri berada bersama-sama kita.

“Lihat kehadiran beliau bukan hanya sebagai kunjungan seorang pemimpin negara. Lihatlah sebagai satu pengiktirafan bahawa suara, bakat dan masa depan anda mempunyai nilai kepada negara,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh barisan kepimpinan Kerajaan Negeri, ketua jabatan, penjawat awam, agensi serta semua pihak yang menggembleng tenaga bagi menjayakan Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 sepanjang tiga hari penganjurannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

198
Kongsi :
Previous post IKHTIAR TOK RAUF IKHLAS, MAHU LIHAT RAKYAT TERUS BANGKIT
Next post TPM KAGUM MELAKA SANTUNI RAKYAT MENERUSI WRUR DEKATI AKAR UMBI