TPM KAGUM MELAKA SANTUNI RAKYAT MENERUSI WRUR DEKATI AKAR UMBI

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

AYER KEROH 6 September – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi memuji pendekatan Kerajaan Negeri melaksanakan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kerana tidak terdapat di negeri lain dalam menyantuni rakyat.

Ahmad Zahid berkata, program WRUR itu membolehkan semua wakil rakyat di negeri ini turun padang ke akar umbi bagi mendekati dan memahami keperluan masyarakat di kawasan masing-masing.

Katanya, pendekatan itu membuktikan wakil rakyat Melaka bukan sekadar berfungsi di Dewan Undangan Negeri (DUN) sebaliknya sentiasa berada bersama masyarakat di peringkat akar umbi

“Saya kagum dengan Melaka, meskipun bukan negeri yang besar tetapi dapat menyantuni hampir seluruh penduduk negeri ini yang berada di akar umbi dan kita harap semua DUN di Negeri Melaka telah disantuni,

“Ini kerana Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco-Exco Kerajaan Negeri dan juga Ahli-Ahli Yang Berhormat di sini menyantuni seluruh penduduk Negeri Melaka menerusi pelaksanaan program WRUR yang tidak ada negeri lain yang buat melainkan di Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Anak Muda Melaka serta Jom Heboh 2026 di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan-timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid turut memuji usaha Ab Rauf yang aktif mendekati pelbagai kelompok masyarakat termasuk golongan muda dan komuniti penghantar p-hailing serta e-hailing.

Tambahnya, pendekatan itu penting bagi memastikan golongan muda tidak hanya diraikan ketika program tertentu sebaliknya terus disantuni dan diberi perhatian dalam agenda pembangunan negeri.

“Melaka mempunyai kira-kira 293,000 anak muda berusia antara 15 hingga 30 tahun, manakala hampir 53 peratus penduduk negeri ini berusia 40 tahun ke bawah.

“Ertinya potensi tenaga kerja di Melaka ini cukup besar kerana ia bergantung kepada guna tenaga anak-anak muda di Negeri Melaka ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

291
Kongsi :
Previous post MELAKA PERLUKAN TENAGA, IDEA DAN SEMANGAT ANAK MUDA
Next post PERATUSAN LEPASAN SPM DI MELAKA PILIH TVET ANTARA TERTINGGI – TPM