PERATUSAN LEPASAN SPM DI MELAKA PILIH TVET ANTARA TERTINGGI – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

AYER KEROH 6 September – Pencapaian Melaka dalam pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) membuktikan negeri ini mempunyai potensi besar dalam membekalkan tenaga kerja berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, kira-kira 56.3 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di negeri ini memilih mengikuti TVET, sekali gus antara tertinggi berbanding negeri lain.

Katanya, angka itu menunjukkan penerimaan anak muda Melaka terhadap pendidikan berasaskan kemahiran semakin tinggi sekali gus menyediakan sumber tenaga kerja yang penting kepada pembangunan ekonomi negeri.

“Melaka walaupun negeri kecil sedikit berbanding dengan negeri-negeri jirannya tetapi institusi TVET dan pelajar-pelajar yang memasuki TVET adalah merupakan kira-kira 56.3 peratus daripada lepasan SPM.

“Peratusan ini antara yang tertinggi jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain,” katanya ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Anak Muda Melaka serta Jom Heboh 2026 di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan-timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, potensi besar golongan muda Melaka perlu dimanfaatkan menerusi peluang pendidikan, kemahiran teknikal dan bidang profesional.

Tambahnya, sambutan terhadap TVET juga perlu dilihat dalam konteks lebih luas kerana anak muda kini bukan hanya memilih laluan akademik konvensional, malah semakin terbuka kepada bidang teknikal dan kemahiran yang memenuhi keperluan industri.

“Penglibatan anak muda dalam pendidikan teknikal, bidang profesional, keusahawanan dan pelbagai sektor ekonomi akan menjadi antara pemacu utama masa depan Melaka.

“Apabila potensinya besar, ertinya banyak perkara yang boleh digarap oleh kita,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

223
Kongsi :
Previous post TPM KAGUM MELAKA SANTUNI RAKYAT MENERUSI WRUR DEKATI AKAR UMBI
Next post PENGANGGURAN 1.6 PERATUS BUKAN ‘JATUH DARI LANGIT’, HASIL KERJA KERAS MELAKA – TPM