PENGANGGURAN 1.6 PERATUS BUKAN ‘JATUH DARI LANGIT’, HASIL KERJA KERAS MELAKA – TPM

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER KEROH 6 September – Kadar pengangguran yang rendah di Melaka iaitu 1.6 peratus membuktikan Kerajaan Negeri telah membuat perancangan terbaik bagi rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, peratusan itu tidak dapat dicapai dan angka itu ‘tidak jatuh dari langit’ sebaliknya ia merupakan hasil usaha berterusan dan kerja keras yang dilakukan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Katanya, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Ab Rauf telah merancang masa depan anak-anak muda, memberikan peluang pekerjaan yang banyak, menyantuni anak-anak muda dan orang-orang lama.

“Kepimpinan ini amat penting dan saya ucapkan tahniah kepada pencapaian 1.6 peratus ini adalah merupakan pencapaian yang terbaik jika dibandingkan dengan negeri-negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan Karnival Anak Muda Melaka serta Jom Heboh 2026 di perkarangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin; Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh.

Turut hadir, barisan Exco dan Timbalan-timbalan Exco Kerajaan Negeri serta ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, potensi besar Melaka ini dipacu oleh kekuatan demografi yang mana hampir 53 peratus penduduk Melaka berumur 40 tahun ke bawah yang mana 56.3 peratus adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memilih laluan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET).

“Di Melaka terdapat kira-kira 293,000 anak muda yang berusia 15 hingga 30 tahun di negeri ini, sekali gus menunjukkan potensi tenaga kerja yang cukup besar di negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

688
Kongsi :
Previous post PERATUSAN LEPASAN SPM DI MELAKA PILIH TVET ANTARA TERTINGGI – TPM