‘MAT MOTOR BUKAN MAT REMPIT’ KETENGAH SISI POSITIF DUNIA PERMOTORAN

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 7 September – Label ‘Mat Rempit’ tidak seharusnya menjadi gambaran kepada keseluruhan komuniti permotoran kerana golongan peminat motosikal turut aktif dalam pelbagai kegiatan sihat dan bermanfaat.

Perkara itu diketengahkan menerusi Podcast Borak Santai Kempen Keselamatan Jalan Raya bertajuk ‘Mat Motor vs Mat Rempit’ sempena Karnival Anak Muda Negeri Melaka 2026 X Jom Heboh di Zon B, Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, pada Ahad.

Podcast yang bermula kira-kira jam 2 petang itu menjadi platform membincangkan perbezaan antara ‘Mat Motor’ dan ‘Mat Rempit’, selain menyentuh kepentingan keselamatan serta penyaluran minat terhadap dunia permotoran secara lebih positif dan terkawal.

Bagi pengunjung yang sudah lebih 10 tahun berkecimpung dalam dunia permotoran, Norazizah Husin, 38, berkata, pengisian berkenaan memberi perspektif baharu mengenai komuniti permotoran yang bukan sekadar tertumpu kepada aktiviti berisiko.

Katanya, aktiviti permotoran boleh menjadi platform positif kepada golongan muda sekiranya minat itu disalurkan menerusi kegiatan yang teratur dan mengutamakan keselamatan.

“Menerusi apa yang dikongsikan dalam sesi podcast tadi, aktiviti permotoran ini bagus untuk anak-anak muda sebab mereka boleh sertai konvoi dan pelbagai aktiviti yang bermanfaat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurutnya, antara pengisian menarik adalah cadangan supaya lebih banyak litar dan program berkaitan permotoran disediakan bagi memberi ruang kepada golongan muda menyalurkan minat dalam suasana lebih selamat dan terkawal.

“Penyediaan ruang yang bersesuaian penting supaya anak muda mempunyai alternatif untuk menikmati dunia permotoran tanpa mendedahkan diri dan pengguna jalan raya lain kepada risiko,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd Aidilfitri Zaidi, 21, berkata, perkongsian menerusi podcast berkenaan penting dalam meningkatkan kesedaran golongan muda terhadap keselamatan jalan raya.

“Perkongsian tadi memang bagus dan penting untuk anak-anak muda. Banyak nasihat yang boleh didengar, terutama tentang aktiviti perlumbaan dan keselamatan,” katanya.

Anak muda dari Telok Mas yang turut menyertai pertandingan ‘autoshow motor’ pada karnival berkenaan berkata, penganjuran program sedemikian wajar diteruskan kerana memberi ruang kepada komuniti permotoran berkongsi pandangan serta mendapatkan pendedahan mengenai aspek keselamatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

532
Kongsi :
Previous post PENJAJA BERSEMANGAT MAHU ‘MERIAHKAN’ LAMAN SANTAI SRI NANING
Next post HIMPUNAN BERMOTOR ERAT HUBUNGAN ORANG MUDA MELAKA