1,500 ATLET ‘RACECATION’ RANCAKKAN PELANCONGAN SUKAN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

KOTA LAKSAMANA 8 September – Melaka semakin mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pelancongan sukan apabila kira-kira 1,500 peserta dari lebih 45 negara menyertai Melaka International Sports Festival 2026 di Encore Melaka di sini baru-baru ini.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman berkata, penganjuran festival berkenaan bukan sekadar medan persaingan sukan, sebaliknya membuka ruang merancakkan lagi sektor pelancongan, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada komuniti setempat.

Katanya, edisi kelapan festival itu mengetengahkan konsep ‘racecation’ yang menggabungkan pengalaman menyertai perlumbaan dengan percutian, sekali gus memberi peluang kepada peserta menikmati tarikan warisan, budaya dan makanan Melaka.

“Penganjuran acara sukan bertaraf antarabangsa seperti ini membuktikan pelancongan sukan mempunyai potensi besar dalam menjana limpahan ekonomi kepada negeri.

“Kehadiran peserta bersama keluarga dan penyokong memberi manfaat kepada pelbagai sektor termasuk hotel, inap desa, restoran, pengangkutan serta lokasi tarikan pelancongan, selain berpotensi memperkenalkan Melaka kepada lebih ramai pelancong antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan..

Mengulas lanjut, Shadan berkata, festival yang mula diperkenalkan pada 2018 itu mempertandingkan acara triatlon, duatlon dan akuatlon termasuk Triatlon Jarak Olimpik membabitkan renangan 1.5 kilometer (km), kayuhan basikal 40 km dan larian 10 km, selain kategori Super Sprint, Sprint serta duatlon individu dan berganti-ganti.

“Setiap atlet yang pulang ke negara masing-masing turut berpotensi menjadi ‘duta’ kepada Melaka apabila berkongsi pengalaman mereka mengenai warisan, sajian dan keramahan negeri ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

606
Kongsi :
Previous post ‘NAK BERKASIH BIARLAH PADA YANG SAYANG, MEMINTA PADA YANG ADA’ – AB RAUF