WRUR AYER LIMAU: RM300,000 BAIK PULIH LAPAN KEDIAMAN UZUR, SEBUAH DIBINA BAHARU

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

AYER LIMAU 8 September – Sebanyak RM300,000 disalurkan Kerajaan Negeri bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan bina baharu kediaman penduduk kurang berkemampuan yang uzur di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau sepanjang tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri untuk menyediakan kediaman lebih selesa, selamat serta berkualiti kepada rakyat Melaka.

Katanya, usaha itu dilaksanakan menerusi inisiatif Program Melaka Rumahku (PMR) oleh Lembaga Perumahan Melaka (PMR) dan tidak termasuk sumbangan daripada agensi lain.

Mengulas lanjut beliau berkata, terbaharu LPM sedang dalam proses membina sebuah kediaman baharu bagi pemohon di DUN Ayer Limau dengan peruntukan sebanyak RM70,000.

“Pembinaan rumah baharu itu antara dua projek bina baharu yang dilaksanakan LPM di DUN ini untuk tempoh dua tahun. Bagi tahun ini sahaja, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah meluluskan satu projek bina baharu dan baik pulih lapan rumah di DUN Ayer Limau,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Melaka Rumahku pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat DUN Ayer Limau di Ramuan China Kechil, di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Menteri menyempurnakan simbolik penyerahan  bina baharu dan baik pulih kepada penerima dalam kalangan penduduk DUN Ayer Limau.

Hadir sama, Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer dan Pengarah Eksekutif LPM Datuk TPr. Murad Husin serta kenamaan lain.

Rais berkata, setiap permohonan dinilai berdasarkan keadaan rumah dan kelayakan penerima sebelum bantuan diluluskan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

391
Kongsi :
Previous post SETIAP KAMPUNG ADA CERITA, MESRA BAWA SUARA RAKYAT
Next post RM7.9 JUTA BANGUNKAN EKOPELANCONGAN PAYA LEBAR