WRUR SUDAH JELAJAH 27 DUN, BERAKHIR DI TANJUNG BIDARA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER LIMAU 8 September – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) kini memasuki siri ke-27 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, sebelum melabuhkan tirai di DUN Tanjung Bidara pada 12 hingga 16 September ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pelaksanaan WRUR yang telah bermula awal 2025 dan dilengkapi dengan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat pada tahun ini menjadi platform penting Kerajaan Negeri turun padang menyantuni rakyat selain meneliti dan menyelesaikan permasalahan yang dibangkitkan.

Menurutnya, Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat pula kini sudah mencapai siri ke-24 dan kedua-dua program berkenaan akan dilengkapkan di Tanjung Bidara sebagai DUN terakhir.

“Saya harap dengan kehadiran semua WRUR dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat ini telah melengkapkan perkhidmatan kami kepada semua rakyat Melaka dalam keprihatinan kami untuk menyantuni masalah rakyat yang telah kita sempurnakan sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.

Menurut Ketua Menteri, lebih 5,000 aduan diterima di setiap kawasan yang dilawati menerusi WRUR, dengan Kerajaan Negeri bersama kepimpinan kerajaan berjaya menyelesaikan 72.1 peratus daripada keseluruhan permasalahan yang dibangkitkan.

“Selebihnya kita akan membuat kajian dan penelitian untuk kita mengambil langkah-langkah seterusnya untuk menyelesaikan baki daripada masalah tersebut,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

222
Kongsi :
Previous post RM1.06 JUTA BANTU 42 KELUARGA AYER LIMAU NIKMATI KEDIAMAN LEBIH SELESA
Next post ’19 SEPTEMBER BUAH BARU MASAK, KITA TUNGGU BUAH GUGUR…’