
‘PUKUL 1 PAGI ADA, 2 PAGI PUN ADA’ – AB RAUF PUJI KOMITMEN HAMEED
AYER LIMAU 8 September – “Masalah rakyat pukul 1.00 pagi dia ada, pukul 2.00 pagi dia ada. Mesyuarat di pejabat pukul 9.00 pagi dia ada. Cuba tanya bila Datuk Hameed tidur?”
Itu gambaran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh terhadap komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer yang disifatkan sentiasa berada bersama rakyat tanpa mengira waktu.
Ab Rauf berkata, kesungguhan Hameed melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat membuktikan amanah yang diberikan kepadanya dilaksanakan dengan penuh komitmen, khususnya dalam menangani permasalahan penduduk.
“(Bila tanya apa yang dia buat) Hameed kata rahsia, dia tak boleh rahsia dengan saya. Saya Ketua Menteri, saya tahulah apa dia buat. Walaupun dia ingat orang tak nampak, tapi saya nampak,” katanya ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.
Ujar Ketua Menteri, komitmen berkenaan wajar dipuji kerana ia menunjukkan kerja keras seorang wakil rakyat yang sentiasa ada dan bersedia menangani permasalahan rakyat pada bila-bila masa.
Beliau berkata, dalam kalangan kira-kira 15,000 penduduk di DUN Ayer Limau, Hameed mempunyai karakter tersendiri dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.
“Kalau kita nak cari manusia macam Datuk Hameed ini, tak ramai ada kerana dia bertanggungjawab atas amanah yang tuan-tuan beri padanya, jawatannya sebagai wakil rakyat.
“Itulah tugas kita sebagai wakil rakyat. Siapa kenal Datuk Hameed tahulah. Bukan senang nak jadi wakil rakyat tapi dia memberikan komitmen cukup tinggi untuk warga Ayer Limau,” katanya.
Menurut Ab Rauf, beliau turut memberikan tanggungjawab kepada Hameed sebagai Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri yang bertanggungjawab kepada pelbagai isu berkaitan infrastruktur dan kemudahan awam untuk rakyat diberi perhatian.
Malah, ujar beliau, tugas itu termasuk memantau keadaan jalan dan lampu jalan selain memastikan tanggungjawab yang diamanahkan dapat ditunaikan untuk kepentingan rakyat.
“Bila memegang portfolio ini, segala infrastruktur, jalan, lampu jalan dia kena tengok dan dia berjaya menuntaskan tanggungjawabnya dengan sangat baik untuk rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


