
‘NAK BERKASIH BIARLAH PADA YANG SAYANG, MEMINTA PADA YANG ADA’ – AB RAUF
AYER LIMAU 8 September – ‘Nak berkasih biarlah pada yang sayang, meminta pada yang ada’, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada rakyat Melaka.
Ab Rauf berkata, apabila diberi mandat kelak, rakyat perlu membuat pilihan yang terbaik dengan menilai kepimpinan yang telah terbukti membawa pembangunan, menjaga kebajikan serta memahami keperluan mereka.
“Kalau kita pilih, pilihlah yang baik. Pilihlah yang boleh membawa kesejahteraan kita, yang kita nak berteduh di pohon yang rendang, yang nak berkasih biarlah pada yang sayang, kalau nak meminta pada yang ada.
“Jadi yang dah ada ini jagalah elok-elok, pokok yang rendang ini jangan ditebang, boleh?” katanya ketika berucap pada Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau di Jeti Paya Lebar, di sini, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri merangkap Penyelaras Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat Datuk Fairul Nizam Roslan; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri; Pegawai Daerah Alor Gajah Datuk Sabrina Thalas serta lain-lain kenamaan.
Menurut Ab Rauf, di Melaka, budaya dan prinsip menjadi wakil rakyat ialah memahami sendiri kesusahan dan keperluan rakyat, selain memastikan dasar yang dirangka Kerajaan Negeri benar-benar memberi manfaat kepada masyarakat.
“Kalau nak jadi wakil rakyat, kita kena jadi rakyat. Kita kena tahu macam mana susahnya rakyat. Kita kena tahu bagaimana kehendak rakyat untuk melestarikan kehidupan. Kita datang bawa dasar dan kita mendasari dasar ini untuk keperluan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menegaskan komitmennya untuk terus bersama rakyat Melaka dalam melaksanakan amanah, biarpun berdepan pelbagai cabaran.
“Walaupun saya terpaksa berpanas, walaupun saya terpaksa berhujan, walaupun sayap saya patah, bertongkatkan paruh saya bangkit untuk membela rakyat Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


