USAHAWAN BEG PAKU MELAKA DISARAN TEROKA PASARAN ANTARABANGSA

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 15 Oktober – Usahawan beg paku di Melaka disaran meneroka pasaran antarabangsa termasuk Singapura dan Australia dengan memanfaatkan platform digital bagi memperluas jualan serta meningkatkan pendapatan.

Pengerusi Majlis TVET Negeri Melaka, Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, usahawan tempatan perlu berani melangkaui pasaran setempat dan mencari pelanggan di luar negeri menerusi strategi pemasaran yang bersesuaian.

Katanya, kemahiran menghasilkan produk perlu disusuli keupayaan memasarkan barangan secara lebih meluas supaya dapat membuka peluang pendapatan yang lebih baik.

“Jangan tengok hanya orang Melaka sahaja nak beli, tetapi tengok orang luar, sampai ke Singapura dan satu hari nanti boleh pos sampai ke Australia,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutupan Bengkel Teori Asas Pembuatan Beg Paku di Dewan Yayasan Belia Sedunia (WYF), di sini, pada Rabu.

Hadir sama, Setiausaha Agung WYF, Datuk Dr. Norsabrina Mohd Noor dan Penolong Pengurus TVET Negeri Melaka, Nurliana Zulbahri.

Khaidhirah berkata, perkembangan teknologi dan kemudahan pemasaran digital kini membolehkan usahawan kecil memperkenalkan produk kepada pelanggan di luar negara tanpa perlu membuka premis perniagaan di pasaran sasaran.

Katanya, kemudahan perkhidmatan penghantaran turut memberi peluang kepada produk tempatan dipasarkan kepada pelanggan di pelbagai lokasi, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada permintaan setempat.

“Sekarang ini kita beli barang dari China, kita fikir tak macam mana mereka hantar barang kepada kita? Tetapi sampai, kan? Maka apa yang mustahil untuk produk kita sampai ke tempat mereka juga? Tak mustahil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggalakkan peserta bengkel memanfaatkan platform media sosial seperti TikTok dan Instagram untuk mempromosikan produk, selain menghasilkan gambar yang menarik bagi meningkatkan perhatian bakal pelanggan.

Menurutnya, kemahiran menghasilkan produk sahaja tidak mencukupi tanpa pengetahuan pemasaran dan pengurusan perniagaan yang berkesan bagi memastikan usaha keusahawanan dapat berkembang.

Dalam pada itu, Khaidhirah berkata, penganjuran bengkel berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha Majlis TVET Negeri Melaka memperluas akses latihan kemahiran kepada komuniti, khususnya mereka yang berminat menjana pendapatan melalui keusahawanan.

Bengkel selama tiga hari itu melibatkan 30 peserta dari seluruh Melaka yang turut dibekalkan kit permulaan bagi membolehkan mereka meneruskan aktiviti menghasilkan beg paku selepas tamat latihan.

Katanya, pembangunan TVET bukan sekadar menyediakan tenaga kerja mahir untuk memenuhi keperluan industri, malah turut membuka peluang kepada masyarakat membina perniagaan sendiri berasaskan kemahiran yang diperoleh.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

875
Kongsi :
Previous post MAJIKAN DI MELAKA BOLEH JIMAT FCLB 80 PERATUS SABTU INI
Next post CALON BELUM PASTI, KHIDMAT KEPADA RAKYAT TIDAK TERHENTI