MPAG SEDIA KIOS LAYAN DIRI, PERLUAS TRANSAKSI TANPA TUNAI

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

ALOR GAJAH 19 Oktober – Orang awam kini mempunyai alternatif untuk membuat pembayaran perkhidmatan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) dengan lebih mudah dan pantas menerusi penyediaan dua kios layan diri tanpa tunai di daerah ini.

Menurut kenyataan MPAG, kemudahan yang mula beroperasi pada 5 Oktober lalu itu disediakan bagi mengurangkan kesesakan di kaunter sedia ada, selain memperluas penggunaan transaksi digital dalam urusan pembayaran.

“Dua kios berkenaan ditempatkan di lobi utama Pejabat MPAG yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 5 petang, manakala kios di Masjid Tanah Sentral boleh digunakan dari 8 pagi hingga 10 malam.

“Kemudahan ini membolehkan orang awam membuat pembayaran cukai taksiran, sewaan, kompaun parkir dan kompaun pelbagai tanpa perlu bergantung sepenuhnya kepada kaunter pembayaran,” katanya.

Katanya, kios berkenaan menerima pembayaran menggunakan kad debit, kad kredit dan DuitNow QR, selain membolehkan sehingga lima bil dijelaskan dalam satu transaksi.

“Mesin ini turut dilengkapi pengimbas kod bar serta fungsi semakan maklumat pelanggan bagi memudahkan pengguna menyemak bil sebelum membuat pembayaran.

“Penyediaan kios ini merupakan antara usaha MPAG meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan menerusi kaedah pembayaran yang lebih fleksibel, mudah dan selamat.

“MPAG akan terus memperluaskan pelaksanaan pendigitalan serta menggalakkan orang awam menggunakan transaksi tanpa tunai ketika berurusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

656
Kongsi :
Previous post PELBAGAI AKTIVITI MENARIK PASTIKAN MENARA TAMING SARI MERIAH SAMPAI HUJUNG TAHUN
Next post BUKAN DEMI RUPA, DUA PESERTA BIGGEST LOSER PILIH HIDUP LEBIH SIHAT