
COKLAT TEMPATAN SETANDING ANTARABANGSA
BANDA HILIR 17 Oktober – Produk coklat tempatan terus mengukuhkan kedudukan dalam pasaran antarabangsa apabila inovasi berasaskan koko tempatan berupaya diketengahkan sebagai produk premium, sekali gus membuka peluang lebih luas kepada usahawan hiliran agrikomoditi.
Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, Malaysia mempunyai potensi besar untuk mengembangkan produk coklat berkualiti tinggi yang mampu bersaing dengan jenama antarabangsa, selain memperluas pasaran produk inovasi usahawan tempatan.
Katanya, usaha itu turut diperkukuh menerusi penganjuran program A Malaysian Cocoa Affair 2026 oleh Kementerian Perladangan dan Komoditi melalui Lembaga Koko Malaysia (LKM) sempena sambutan Hari Koko dan Coklat Sedunia.
“Program ini bukan sahaja dianjurkan oleh LKM, tetapi turut bekerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN), Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Kita sebenarnya mempunyai produk agrikomoditi tempatan yang berpotensi untuk diketengahkan, terutama coklat yang berkualiti premium dan setaraf dengan produk antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelancaran A Malaysian Cocoa Affair 2026 di Concourse Area, Mahkota Parade, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Pengarah LKM Shari Fuddin Sha’ari, wakil kementerian dan agensi kerajaan, rakan strategik, pemain industri serta usahawan tempatan.
Mengulas kejayaan usahawan tempatan menembusi pasaran antarabangsa, Noraini berkata, Symphony Confection menjadi contoh bagaimana golongan belia mampu membangunkan produk bernilai tambah menerusi latihan, bimbingan dan kerjasama dengan agensi berkaitan.
“Symphony ialah sebuah syarikat yang unik kerana diusahakan golongan muda dan berjaya memasarkan produknya ke peringkat antarabangsa.
“Mereka bermula dengan menyertai kursus anjuran LKM sebelum berjaya bekerjasama menghasilkan ramuan istimewa menggunakan gula Melaka,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan membuktikan pembangunan industri koko bukan hanya tertumpu kepada pengeluaran bahan mentah, malah merangkumi penghasilan produk hiliran yang mempunyai identiti tersendiri dan nilai komersial lebih tinggi.
Program berlangsung dari 16 hingga 18 Oktober itu menyasarkan kehadiran 35,000 pengunjung menerusi tema ‘Sense, Savour and Celebrate’ yang menggabungkan keunikan produk koko dengan warisan Peranakan Cina Melaka.
Sebanyak 24 reruai usahawan disediakan bagi mempamerkan pelbagai produk termasuk coklat artisan berkonsepkan single origin dari Pahang dan Melaka, minuman koko, lada premium, minyak wangi gaharu serta produk penjagaan diri berasaskan sawit.
Lebih menarik, majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran dua produk inovasi tempatan, iaitu Magnificent Chocs – Sarawak’s Origin Panning Almond Couverture keluaran Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad dan Gula Melaka Chocolate Cream oleh Symphony Confection Sdn. Bhd.
Penganjuran program itu turut menampilkan pelbagai aktiviti termasuk bengkel pembuatan coklat dan demonstrasi kulinari bagi memberi pendedahan kepada pengunjung mengenai proses penghasilan serta kepelbagaian penggunaan koko dalam industri makanan.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


