
‘BATU TENGGEK’, PERMATA SENJA DI TANJUNG BIDARA
TANJUNG BIDARA 17 Oktober – Keindahan panorama senja di Batu Tenggek, Kampung Pasir Gembur, di sini, semakin menjadikan kawasan itu antara tarikan pelancongan menarik di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, ditambah pula dengan keunikan sajian lempeng yang menjadi pilihan pengunjung.
Ketua Menteri yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Bidara Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, keistimewaan kawasan itu bukan sahaja terletak pada pemandangan matahari terbenam, malah identiti uniknya yang diangkat daripada dua batu di tengah laut yang kelihatan bertenggek.
Menurutnya, keunikan tersebut turut memberi inspirasi kepada nama Warung D’Ambang Sore Batu Tenggek yang menawarkan lempeng serta pelbagai hidangan lain kepada pengunjung.
“Batu Tenggek ini mempunyai keistimewaan tersendiri, dengan dua batu di tengah laut yang kelihatan seakan bertenggek menjadi identiti kawasan ini sehingga ia dikenali dengan nama berkenaan.
“Keunikan itu ditambah dengan sajian lempeng kelapa dan pelbagai makanan menarik yang menjadikan kawasan ini bukan sekadar lokasi menikmati matahari terbenam, tetapi juga tempat orang ramai datang bersantai bersama keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Santai Minum Petang Bersama Rakyat di Warung D’Ambang Sore Batu Tenggek, Kampung Pasir Gembur, di sini, hari ini.
Ab Rauf berkata, kawasan berkenaan turut menerima kunjungan pelancong dan pengunjung dari dalam serta luar Melaka, khususnya pada hujung minggu, sekali gus membuka peluang kepada pengusaha makanan tempatan untuk mengembangkan perniagaan.
Katanya, tarikan berasaskan keindahan alam semula jadi dan keunikan makanan tempatan berpotensi menjadi pemangkin kepada pertumbuhan pelancongan setempat, selain memberi manfaat ekonomi kepada komuniti sekitar.
Beliau berkata, usaha mengetengahkan permata pelancongan seperti Batu Tenggek amat penting bagi memperluas lagi pilihan destinasi tarikan di Melaka dan Tanjung Bidara khususnya.
Tambahnya, lokasi itu juga memberi nilai tambah kepada pengunjung yang mencari pengalaman santai menikmati keindahan pesisir pantai sambil menikmati makanan tradisional seperti lempeng kelapa yang dipadankan dengan sambal tumis.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


