TANGGA BATU PARLIMEN PERTAMA LANCAR JENTERA BN HADAPI PRN MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SUNGAI UDANG 17 Oktober – Tangga Batu menjadi kawasan Parlimen pertama di Melaka melancarkan jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 pada 14 November depan.

Majlis yang berlangsung di Bilik Gerakan Utama BN Parlimen Tangga Batu, malam ini, menghimpunkan kepimpinan parti serta jentera akar umbi dari empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Klebang, Paya Rumput, Pantai Kundor dan Sungai Udang.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh tiba kira-kira jam 8.15 malam bagi menghadiri majlis berkenaan yang turut disertai kepimpinan parti dari Kedah dan Perak.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Rais Yasin berkata, beliau diberi tanggungjawab untuk menjadikan Tangga Batu sebagai kawasan Parlimen pertama melancarkan jentera pilihan raya BN bagi menghadapi PRN kali ini.

“Alhamdulillah, selaku orang yang berada di bawah Yang Amat Berhormat, saya sedikit mengambil peranan menjadi Parlimen atau bahagian pertama untuk melancarkan jentera pada pilihan raya negeri kali ini,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Menurutnya, persiapan jentera telah dilaksanakan lebih awal dengan meninjau dan memperkemas gerak kerja di empat DUN dalam Parlimen Tangga Batu.

Beliau turut menghargai sokongan jentera dari Kedah dan Perak yang membantu persiapan pilihan raya di kawasan berkenaan, termasuk petugas yang sudah berada di Sungai Udang sejak beberapa hari lalu.

Rais berkata, kerjasama itu diharap dapat membantu usaha BN mempertahankan DUN Klebang, Paya Rumput dan Pantai Kundor, selain merampas kembali DUN Sungai Udang.

Terdahulu, majlis itu turut dihadiri Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Azian Osman; Ketua UMNO Bahagian Jasin Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali; Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Negeri Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong serta lain-lain kenamaan.

Pelancaran berkenaan turut menghimpunkan jentera parti komponen BN termasuk UMNO, MCA, MIC dan MyPPP bagi menyelaraskan gerak kerja menjelang penamaan calon pada 31 Oktober ini.

PRN Melaka Ke-16 dijadualkan berlangsung pada 14 November depan membabitkan 28 kerusi DUN, manakala pengundian awal ditetapkan pada 10 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

516
Kongsi :
Previous post ‘BATU TENGGEK’, PERMATA SENJA DI TANJUNG BIDARA
Next post PRN MELAKA: BN UMUM CALON 28 OKTOBER, KEKAL SASAR 21 KERUSI