DARI PONDOK ZINK NURSAJIDAH BERTEDUH DI RUMAH SELESA HASIL KEMAKMURAN MELAKA 

Masa Membaca:2 Minit, 56 Saat

AYER MOLEK 20 Oktober – Bukan tilam empuk, sebaliknya hanya beralaskan sejadah, itulah kehidupan yang dilalui Nursajidah Md Nor, 41, bersama anak tunggalnya, Aduka Alfateh Mohd Fairuz, 6, selama dua tahun setengah berteduh di sebuah pondok zink serba kekurangan.

Tanpa bilik tidur mahupun kelengkapan asas, ibu tunggal itu meneruskan kehidupan dengan mengambil upah menjahit dan melakukan kerja pembersihan demi membesarkan anaknya, selepas kehilangan suami akibat serangan jantung.

Namun, penantian kira-kira lima tahun sejak mengemukakan permohonan bantuan rumah akhirnya membawa khabar gembira apabila Nursajidah menerima rumah baharu menerusi Program Melaka Rumahku (PMR) Bina Baharu hasil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Lembaga Perumahan Melaka (LPM) di Kampung Pengkalan Minyak.

Kini dia menghuni kediaman tiga bilik tidur, sebuah bilik air, ruang tamu dan dapur yang siap sepenuhnya pada 31 Ogos lalu.

Bag Nursajidah, hadiah daripada Kerajaan Negeri itu membuka lembaran baharu buat dirinya dan anak selepas sekian lama hidup dalam keadaan serba kekurangan.

6249042678720959159 (1)
PONDOK zink menjadi tempat Nursajidah dan anak tunggalnya berteduh sebelum ini. Foto Dani Ahmad

Mengimbas kehidupannya sebelum ini, Nursajidah berkata, dia pernah menyewa sebuah bilik stor dengan bayaran RM200 sebulan sebelum berpindah ke pondok zink berkenaan selama lebih dua tahun.

“Suami meninggal dunia ketika Aduka baru berusia enam bulan, alhamdulillah, saya bersyukur sangat-sangat atas rezeki rumah baharu ini. Selepas hantar borang saya cuma tunggu, berasa segan untuk bertanyakan status permohonan, ingatkan tidak terpilih.

“Selepas kisah pondok zink saya tular, ada pihak yang menghubungi dan datang membantu sebelum akhirnya saya mendapat rumah ini. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri dan semua pihak yang terlibat kerana membina rumah ini,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di rumahnya di sini, hari ini.

Menurutnya, pondok zink sebelum ini tidak mempunyai bilik tidur khusus, menyebabkan dia dan anaknya terpaksa tidur di ruang tengah dengan hanya beralaskan sejadah. Malah, bekalan air dan elektrik juga bergantung pada sambungan daripada sumah abangnya yang terletak bersebelahan.

Lebih menyentuh hati, meskipun kini mempunyai rumah lebih selesa, keutamaan Nursajidah masih tertumpu pada keperluan asas anaknya, terutama menyediakan tilam supaya anak kecil itu dapat tidur dengan lebih selesa.

“Saya ada duit pun, saya mahu beli tilam sahaja untuk anak tidur dengan lebih selesa. Kesian dia tidur atas sejadah dengan bantal sahaja.

“Barang lain boleh beli perlahan-lahan. Yang penting, saya mahu anak saya hidup lebih selesa,” katanya.

Bagi Nursajidah, kebahagiaan anaknya sentiasa menjadi keutamaan meskipun dia terpaksa mengetepikan keinginan sendiri. Anak tunggalnya itu pernah meminta hadiah yang lebih mahal selepas melihat barangan milik kanak-kanak lain, namun dia hanya mampu berjanji akan membelinya apabila keadaan kewangan mengizinkan.

6249042678720959171
UPAH menjahit menjadi sumber pendapatan utama Nursajidah. Foto Dani Ahmad

Dalam meneruskan kehidupan, Nursajidah mengambil upah membaiki dan mengubah suai pakaian, selain melakukan kerja pembersihan apabila mendapat panggilan, bagi menampung keperluan harian mereka.

Minat dalam bidang jahitan yang dipelajarinya selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menjadi sumber rezeki sejak sekian lama. Dia juga pernah memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan membuka ruang jahitan di kaki lima sebelum mengembangkan perkhidmatannya.

Walaupun masih berusaha memperbaiki keadaan kewangan, Nursajidah tidak pernah berhenti berharap agar perniagaannya kembali maju seperti dahulu.

“Harapan saya, semoga Allah beri kesihatan dan tidak menarik nikmat untuk beribadah. Saya juga berdoa supaya perniagaan saya semakin maju seperti dahulu,” katanya.

Dengan rumah baharu itu, Nursajidah kini menaruh harapan untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dalam suasana lebih selesa tahun depan, sekali gus memberikan kehidupan lebih baik buat anak yang selama ini menjadi sumber kekuatannya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1114
Kongsi :
Previous post 881 KES PENYAKIT BERKAITAN JEREBU DIREKODKAN DI MELAKA
Next post MPJ, UMCARES TEROKA KERJASAMA PERKASA KOMUNITI JASIN