‘BIMBANG DENGAN MUSUH DALAM SELIMUT, BUKAN LAWAN POLITIK’ – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 12 Saat

PANTAI KUNDOR 23 Oktober – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh mengingatkan jentera parti supaya mengutamakan kekuatan dalaman bagi menghadapi persaingan politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan datang.

Ab Rauf, menegaskan mengenai kepentingan memperkasakan kesepaduan dan kerjasama dalam kalangan anggota parti selain sentiasa bersedia menghadapi cabaran parti lawan.

Katanya, setiap anggota jentera perlu memahami tanggungjawab masing-masing dan mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan usaha bersama.

“Saya tidak risau kalau nak berlawan dengan orang yang datang dari luar. Apa yang saya risau adalah musuh dalam selimut.

“Gerak kerja parti perlu dilaksanakan secara tersusun dengan memberi tumpuan kepada matlamat yang sama, terutama dalam mendekati masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Pengerusi MCA Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Penyandang kerusi DUN Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf turut mengingatkan bahawa persaingan politik perlu ditangani dengan kesediaan untuk bekerja lebih keras dan memastikan hubungan dalam organisasi terus diperkukuh.

“Kekuatan sesebuah parti bukan hanya bergantung kepada persediaan menghadapi lawan, malah turut dipengaruhi keupayaan anggotanya bergerak sebagai satu pasukan.

“Justeru, saya berharap seluruh jentera BN Melaka dapat mengekalkan kesepakatan dan memberi tumpuan kepada gerak kerja menjelang PRN Melaka pada 14 November ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

165
Kongsi :
Previous post PANTAI KUNDOR ANTARA KERUSI TUMPUAN PRN MELAKA KE-16
Next post BN MELAKA PERKUKUH GERAK KERJA BERASASKAN KEPERLUAN RAKYAT