BN MELAKA PERKUKUH GERAK KERJA BERASASKAN KEPERLUAN RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

PANTAI KUNDOR 23 Oktober- Barisan Nasional (BN) Melaka memberi penekanan kepada pendekatan turun padang dan usaha mengenal pasti keperluan rakyat sebagai sebahagian daripada gerak kerja politiknya menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 akan datang.

Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, pengalaman mendekati rakyat melalui Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) dan Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat membolehkan pemimpin melihat sendiri keadaan serta permasalahan yang dihadapi masyarakat.

Katanya, pemimpin perlu memahami kehidupan rakyat dan tidak menjadikan kedudukan sebagai wakil rakyat alasan untuk mewujudkan jurang dengan masyarakat.

“Menerusi WRUR, kita sudah masuk kampung, kita sudah cari permasalahan rakyat malahan ada isu yang bertahun tidak selesai berjaya kita huraikan.

“Setiap kawasan atau Dewan Undangan Negeri (DUN) ini mempunyai keperluan tersendiri yang perlu dikenal pasti melalui komunikasi secara langsung dengan penduduk.

“Wakil rakyat yang dipilih nanti perlu ada pendekatan ini bagi membolehkan mereka ini memahami isu yang memerlukan perhatian segera dan menentukan tindakan bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Tangga Batu Datuk Rais Yasin; Pengerusi MCA Melaka Datuk Wira Lim Ban Hong; Penyandang DUN Pantai Kundor Datuk Tuminah Kadi @Mohd Hashim serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, tanggungjawab wakil rakyat tidak seharusnya terhenti selepas sesuatu program selesai, sebaliknya perlu diteruskan melalui pemantauan serta hubungan berterusan dengan masyarakat.

“Saya harap siapa pun nanti yang tercalon, ingat, bertanding untuk parti bukan peribadi.

“Jadi saya harap jentera parti dapat menjadikan keperluan rakyat di kawasan masing-masing nanti menjadi antara fokus utama dalam setiap gerak kerja yang dilaksanakan untuk kita memenangi PRN ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post ‘BIMBANG DENGAN MUSUH DALAM SELIMUT, BUKAN LAWAN POLITIK’ – AB RAUF