DERMA DARAH, SARINGAN KESIHATAN PERCUMA TUNGGU MELAKA 8 NOVEMBER INI

Masa Membaca:2 Minit, 7 Saat

BANDA HILIR 24 Oktober – Usaha meningkatkan kesedaran kesihatan awam serta membantu menambah bekalan darah di Melaka bakal diperkasa menerusi Program Derma Darah dan Hari Kesihatan Komuniti 2026 di Dataran Pahlawan pada 8 November ini.

Program anjuran bersama Majlis Jaksa Pendamai Negeri Melaka (MJPNM) dan The Lions Club of Malacca itu turut menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan percuma, termasuk saringan kesihatan, konsultasi perubatan, pemeriksaan pergigian serta aktiviti kesejahteraan untuk masyarakat.

Pengerusi Kempen, Prof. Adj. Datin Seri Azreen Abu Noh berkata, program berkenaan bukan hanya memberi tumpuan kepada pendermaan darah, sebaliknya menjadi platform menyediakan akses kepada pelbagai perkhidmatan kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti.

“Kempen ini bukan sekadar mengenai pendermaan darah semata-mata, malah ia merupakan satu Hari Kesihatan menyeluruh yang merangkumi pelbagai aspek kesejahteraan.

“Ini termasuk perkhidmatan konsultasi perubatan percuma, aktiviti kesihatan, kecantikan dan pelbagai lagi perkhidmatan khusus untuk dinikmati serta dimanfaatkan oleh seluruh warga komuniti,” katanya.

Menurutnya, program itu turut menjadi ruang mengeratkan hubungan masyarakat menerusi penyertaan pelbagai persatuan komuniti, usahawan tempatan serta rakan strategik yang menawarkan perkhidmatan dan aktiviti kesihatan.

Beliau berkata, penganjuran bersama Lions Club of Malacca buat julung kali itu juga mencerminkan komitmen kedua-dua organisasi dalam memperluas khidmat masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan umur.

Eca11d28 d6c8 401e 8428 071c45e04469

Sementara itu, Presiden Lions Club of Malacca, Dr. William Hong berkata, pihaknya gembira dapat bekerjasama dengan MJPNM yang disifatkan sebagai badan dihormati masyarakat dalam menjayakan program berteraskan kebajikan dan kesihatan komuniti.

Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Melaka bagi kempen derma darah dan pendaftaran organ, selain Klinik MediPulih serta rakan strategik perubatan yang menyediakan saringan dan konsultasi kesihatan.

Antara perkhidmatan ditawarkan termasuk saringan PeKa B40, pemeriksaan pergigian, konsultasi doktor pakar, ujian gula dan tekanan darah, saringan penglihatan serta konsultasi kesihatan mental.

Saringan kesihatan am dan khas turut disediakan mengikut kategori pengunjung, termasuk golongan B40, penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta warga emas.

Selain itu, pengunjung berpeluang menyertai aktiviti kecergasan bersama Anytime Fitness, mendapatkan maklumat mengenai pelancaran Kad Rahmah atau aplikasi kesihatan serta mengunjungi booth persatuan komuniti dan usahawan tempatan.

Program yang akan dirasmikan Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Seia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam itu berlangsung dari jam 10 pagi hingga 5 petang, manakala aktiviti derma darah dijadualkan bermula 10 pagi hingga 3 petang.

Sebagai penghargaan, 100 penderma darah terawal akan menerima beg cenderamata khas mengandungi barangan keperluan harian serta surat penghargaan daripada MJPNM dan The Lions Club of Malacca.

Orang ramai dijemput hadir bagi memanfaatkan perkhidmatan kesihatan percuma serta menyertai kempen derma darah yang diadakan di laluan utama tingkat bawah Dataran Pahlawan Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post HUFFAZ JUGA MAMPU JADI PERDANA MENTERI – AHMAD ZAHID
Next post MELAKA SENTIASA HARGAI, JAGA KEBAJIKAN TENTERA