
PRN MELAKA: BN KEKAL PADA JANJI, 7 KERUSI UNTUK PN
BANDARAYA MELAKA 24 Oktober – Barisan Nasional (BN) kekal dengan persetujuan asal menyerahkan tujuh kerusi yang tidak ditandinginya kepada Perikatan Nasional (PN) untuk diagihkan sesama parti komponennya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi BN Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, persetujuan itu telah dicapai bersama dan perlu dihormati meskipun terdapat usaha dalam kalangan PN untuk mendapatkan dua lagi kerusi tambahan.
Beliau berkata, pihaknya berpegang kepada perjanjian asal yang memberi ruang kepada PN menentukan pembahagian tujuh kerusi berkenaan dalam kalangan parti gabungannya.
“Saya ada juga mendengar terdapat usaha-usaha pengintaian itu tetapi kita telah ada biah.
“Kita telah (ada) perjanjian bahawa mereka diberikan peluang untuk merangkul tujuh kerusi yang tidak ditandingi Barisan Nasional.
“Dan kita serahkan kepada mereka untuk pengagihan dalam kalangan parti-parti gabungan di dalam Perikatan Nasional,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Graduasi Huffaz Dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab, di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.
Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Profesor Datuk Dr Mizan Hitam.
Zahid berkata, setakat ini BN kekal dengan keputusan yang telah dipersetujui bersama.
“Setakat ini, itulah yang telah diputuskan dan kita pegang apa yang telah kita persetujui bersama,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


