HUFFAZ JUGA MAMPU JADI PERDANA MENTERI – AHMAD ZAHID

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

BANDARAYA MELAKA 24 Oktober – Pelajar tahfiz tidak seharusnya dipandang rendah kerana golongan huffaz berpotensi menjadi profesional malah pemimpin tertinggi negara pada masa hadapan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pendidikan tahfiz bukan penghalang kepada pelajar untuk meneroka pelbagai bidang kerjaya, sebaliknya perlu dilihat sebagai asas yang mampu membentuk generasi berilmu dan berkemampuan menerajui negara.

Katanya, pelajar tahfiz perlu diberi peluang memilih bidang mengikut kemampuan dan minat masing-masing tanpa memperlekehkan pendidikan yang mereka ikuti.

“Pilihlah bidang mengikut kemampuan dan minat kita malah yang penting jangan pernah memperlekehkan pendidikan tahfiz atau mengecilkan masa depan mereka.

“Insya-Allah dengan usaha yang kita lakukan, dengan doa para ibu bapa, mereka akan menjadi ahli-ahli profesional. Itu harapan kita.

“Kita mahu lebih ramai anak-anak menjadi doktor, jurutera, saintis, pakar teknologi atau usahawan dan insya-Allah seorang Perdana Menteri, tetapi kita juga tetap memerlukan ulama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi Huffaz Dan Apresiasi Kecemerlangan Ulul Albab 2026, di sebuah hotel di Jalan Hang Tuah, di sini, hari ini.

Hadir sama Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat; Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) Shaifulfazlee Mohamad dan Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Profesor Datuk Dr Mizan Hitam.

Menurut Ahmad Zahid, kerajaan turut mengusulkan pelaksanaan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia dan penubuhan Majlis Tahfiz Negara bagi memastikan pendidikan tahfiz lebih berkualiti, kebajikan pelajar terpelihara serta membuka lebih banyak peluang masa depan kepada golongan huffaz.

Katanya, usaha itu juga bagi memastikan alumni tahfiz tidak berdepan kesukaran mendapatkan peluang kerjaya selepas menghabiskan bertahun-tahun menghafaz al-Quran.

“Saya tidak mahu alumni ini, mereka menghabiskan bertahun-tahun menghafal al-Quran tetapi akhirnya tercari-cari peluang kerana kelayakan mereka tidak diiktiraf sewajarnya.

“Sebab itu komitmen saya sebagai orang nombor dua di negara ini, Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) telah dibuat ketika saya menjadi Timbalan Perdana Menteri pertama kali, bukan sekarang.

“Kini saya teruskan dengan pengwujudan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) dan Skim Pembiayaan Hafiz.

“Selain saya juga telah mengintegrasikan seluruh maahad tahfiz di negara kita, sama ada berdaftar atau tidak berdaftar, dan juga sekolah-sekolah pondok di seluruh negara untuk mengikuti pendekatan TVET,” katanya.

Terdahulu, seramai 40 pelajar Imtiaz yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran diraikan pada majlis itu bersama pelajar cemerlang dalam SPM 2025, kokurikulum dan kepimpinan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

591
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: BN KEKAL PADA JANJI, 7 KERUSI UNTUK PN
Next post DERMA DARAH, SARINGAN KESIHATAN PERCUMA TUNGGU MELAKA 8 NOVEMBER INI