
AHMAD ZAHID JUNJUNG KASIH AGONG, MINTA SEMUA HORMATI KEPUTUSAN PENGAMPUNAN NAJIB
TABOH NANING 10 November – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) menzahirkan penghargaan serta menjunjung kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim atas keprihatinan baginda berhubung keputusan Lembaga Pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan baginda berhubung pengurangan hukuman penjara serta kebenaran menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah perlu dihormati dan dipatuhi semua pihak.
“Kami amat bersyukur dan menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan yang telah memutuskan untuk membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukumannya di rumah.
“Ini adalah bukti keprihatinan tinggi baginda dan kami sebagai pimpinan parti menjunjung kasih serta menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, hari ini.
Hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah pelepasan baharu yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta sehingga 23 Ogos 2028.
Perintah baharu itu menggantikan perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu selepas Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan permohonan semakan bagi memastikan pelaksanaannya selaras dengan perintah pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong pada 18 September lalu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menasihatkan semua pihak agar tidak terus mencetuskan polemik atau memperdebatkan keputusan berkenaan.
“Ketetapan dan kuasa Tuanku di dalam perlembagaan adalah satu kuasa mutlak dan ia (harus) dipatuhi. Mudah-mudahan kita tutup buku bagi pewujudan polemik. Tidak ada polemik lagi selepas ini,” katanya.
Beliau turut mendoakan agar Najib diberikan ketenangan ketika menjalani baki hukuman di rumah bersama keluarga, selain berharap segala urusan bekas Perdana Menteri itu dipermudahkan.
“Mudah-mudahan kita berdoa agar Datuk Seri Najib tenang berada di rumah bersama dengan keluarga dan kita harap apa juga yang sedang dialami oleh beliau, semoga Allah Taala permudahkan segala urusan beliau berikutnya,” katanya.
Mengulas sumbangan kewangan orang ramai, Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang menyumbang menerusi kutipan dana secara ‘crowdfunding’ sehingga mencecah RM50 juta bagi membantu menjelaskan denda yang dikenakan terhadap Najib.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


