‘BUKAN SAHAJA GAJI, ELAUN MENTERI JUGA WAJAR DISUMBANGKAN’ – ZAHID

Masa Membaca:1 Minit, 42 Saat

AYER KEROH 11 November – Cadangan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri bagi membantu badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan isu berkaitan tahanan rumah disifatkan sebagai satu langkah yang baik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi bagaimanapun berpandangan sumbangan itu wajar turut merangkumi elaun yang diterima Mohamad sekiranya hasrat berkenaan benar-benar bertujuan membantu perjuangan tersebut.

“Cadangan yang baik dan saya harap bukan sahaja gaji tetapi elaun beliau juga harus diberikan kalau itu niat untuk membantu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Festival KEMAS – Khatam Perdana Pra Tahfiz di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Sebelum ini, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta Ahli Parlimen Kota Raja mengumumkan kesediaan menyerahkan keseluruhan gaji bulanannya berjumlah RM11,900 sehingga pembubaran Parlimen bagi membantu membiayai usaha NGO memperjuangkan prinsip kesaksamaan undang-undang.

Presiden Amanah itu turut mencadangkan supaya satu mekanisme perundangan diwujudkan bagi membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara dan baki tempoh melalui tahanan rumah, tertakluk kepada peraturan yang adil, telus serta terpakai kepada semua tanpa mengira kedudukan atau pengaruh politik.

Cadangan itu dibangkitkan dalam konteks isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, namun menjelaskan pendiriannya bukan berpunca daripada sebarang pertikaian peribadi dengan Najib atau keluarganya, sebaliknya berasaskan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Zahid berharap tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku sepanjang baki tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan berakhir pada 13 November ini.

Beliau berkata, kempen pilihan raya setakat ini berlangsung dalam keadaan tenang berbanding pilihan raya di negeri lain atau pilihan raya kecil, selain semua parti yang bertanding dilihat menghormati tata etika kempen.

“Kita mengharapkan agar pada hari-hari akhir kempen ini, mudah-mudahan tidak ada sebarang peristiwa yang tidak diingini akan berlaku,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap kemampuan pasukan keselamatan serta kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam memastikan kelancaran proses pilihan raya sehingga hari pengundian pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

209
Kongsi :
Previous post MAIM AGIH BANTUAN PAKAIAN SEKOLAH DI 6 PARLIMEN BERMULA 21 NOVEMBER
Next post PRN MELAKA: RM14.68 BILION PELABURAN, 15 JUTA PELANCONG JADI TARUHAN BN