PRN MELAKA: UNDI HARI INI, WARISAN UNTUK ANAK CUCU ESOK – AB RAUF

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

TANJUNG BIDARA 11 November – Pilihan raya bukan sekadar menentukan pembentukan kerajaan, sebaliknya menjadi medan penting untuk mencorakkan hala tuju negara serta masa depan generasi akan datang.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, setiap keputusan yang dibuat pada hari pengundian membawa kesan terhadap kehidupan generasi seterusnya, sekali gus menentukan warisan yang bakal ditinggalkan kepada anak cucu.

Menurutnya, generasi hari ini memikul tanggungjawab memastikan legasi perjuangan pemimpin terdahulu terus dipelihara dan diwariskan agar anak cucu dapat menikmati kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

“Pilihan raya kali ini ialah pilihan raya untuk kita membina jambatan masa depan anak cucu kita.

“Dulu masa kita kecil, kita tengok gambar Tunku Abdul Rahman melaungkan merdeka. Sekarang pun kita sudah tua, anak cucu kita pula akan melihat apa yang kita lakukan hari ini.

“Pengorbanan Tunku Abdul Rahman dan pemimpin-pemimpin terdahulu membawa negara ini sampai ke tahap sekarang. Maka, hari ini menjadi tanggungjawab kita memastikan warisan ini dapat diwariskan kepada anak cucu sehingga mereka menikmati kehidupan yang lebih selesa daripada kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Ramah Mesra Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; calon BN DUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga calon nombor 2 DUN Tanjung Bidara berkata, kepentingan pilihan raya dalam menentukan hala tuju negara turut dapat dilihat menerusi perubahan landskap politik apabila BN kehilangan kuasa selepas mentadbir negara selama kira-kira 60 tahun.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan bahawa tanggungjawab menentukan masa depan negara bukan hanya untuk kepentingan generasi hari ini, sebaliknya perlu mengambil kira kehidupan dan kesejahteraan anak cucu pada masa akan datang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

131
Kongsi :
Previous post 10 INSTITUSI TAHFIZ TERBAIK BAKAL TERIMA INSENTIF RM50,000 – TPM
Next post MAIM AGIH BANTUAN PAKAIAN SEKOLAH DI 6 PARLIMEN BERMULA 21 NOVEMBER