Adly diumum calon tunggal KM jika PH memerintah

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

BANDARAYA MELAKA 10 Nov – Pakatan Harapan mengumumkan Adly Zahari sebagai calon tunggal Ketua Menteri gabungan itu sekiranya memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Perkara itu diumumkan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis pelancaran manifesto PH, di sini, hari ini.

“Kita telah menonjol satu tokoh yang pernah memimpin Kerajaan PH dan naratif kita itu konsisten, iaitu apa sahaja langkah untuk mengembalikan mandat PH harus kita dukung.

“Maka dengan itu, muafakat dan konsensus yang tercapai oleh pimpinan ialah meneruskan komitmen yang sama dan dengan ini menamakan saudara Adly Zahari sebagai calon Ketua Menteri.

“Insya-Allah bila kita menang Adly akan diangkat sebagai Ketua Menteri untuk meneruskan agenda,” katanya.

Sementara itu, menerusi Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan itu, Adly mengumumkan tiga teras, enam strategi dan 32 inisiatif.

“Tiga teras itu adalah Melaka Sejahtera, Melaka Makmur dan Melaka Stabil yang merangkumi inisiatif kesihatan, kesejahteraan rakyat, peluang pekerjaan, sokongan perniagaan, pelaburan ekonomi dan reformasi pentadbiran.

“Menggubal enakmen anti-lompat parti bagi menjamin kestabilan kerajaan dan mengiktiraf ketua pembangkang setaraf Exco serta menjadikan amalan tender terbuka sebagai teras proses perolehan negeri antara inisiatif diperuntukkan,” katanya.

Beliau turut mengumumkan, inisiatif kesihatan Kad Melaka Sihat yang memberi manfaat RM300 setahun kepada keluarga B50 yang layak mendapatkan rawatan di klinik swasta serta Dana Ihsan COVID-19; iaitu bantuan kepada keluarga yang kehilangan ahli keluarga akibat COVID-19.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

514
Kongsi :
Previous post Calon BN Bemban bantu mangsa kemalangan
Next post Manifesto BN menyeluruh, beri manfaat untuk semua golongan
Ubah saiz-+=