Manifesto BN menyeluruh, beri manfaat untuk semua golongan

Masa Membaca:3 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 10 Nov – Barisan Nasional (BN) hari ini secara rasminya melancarkan Manifesto Kestabilan Demi Kemakmuran bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 Nov ini.

Manifesto yang merangkumi segala tawaran untuk Melaka dalam tempoh lima tahun itu disifatkan cukup realis dan berpijak di bumi nyata seperti mana yang disebutkan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan yang melancarkan manifesto itu secara hibrid di Taman Botanikal, di sini, hari ini.

Mohamad berkata, sebanyak 103 inisiatif dan lima teras telah digariskan dalam manifesto tersebut yang merangkumkan kestabilan politik, lonjakan ekonomi baharu, kecekapan tadbir urus, masyarakat bersatu padu serta pembangunan mapan dan perkongsian kemakmuran.

Tegasnya, setiap teras itu bukan sekadar ‘cakap-cakap’ biasa, sebaliknya ia berpijak di bumi nyata, menyeluruh serta merangkumi kehendak segenap lapisan masyarakat.

Teras pertama iaitu kestabilan politik, contohnya, mengamalkan dasar politik matang apabila BN menjanjikan peruntukan kepada semua 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk ADUN bukan kerajaan.

Kematangan politik itu turut dimanifestasikan menerusi cadangan meminda Perlembagaan Negeri bagi tujuan melantik lima orang ADUN tambahan termasuk dalam kalangan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi membuka ruang dan perspektif persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di luar ruang lingkup politik semata-mata.

Selain itu, dalam manifestonya, BN turut menggariskan pemacu ekonomi baharu negeri yang akan membantu membangunkan ekonomi masyarakat setempat.

Antara projek pembangunan yang akan diteruskan ialah koridor ekonomi baharu, Melaka Waterfront Economic Zone (M-WEZ) yang dijangka mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan setiap tahun.

Pada masa sama, BN tidak akan melupakan sektor pelancongan yang menjadi nadi penting buat Melaka, selain berjanji akan memperbanyakkan tempat-tempat berniaga dengan infrastruktur asas yang lengkap.

Bagi memudahkan permohonan dan kelulusan lesen perniagaan, BN juga bakal meminda peraturan dan undang-undang di bawah kerajaan negeri bagi membantu golongan peniaga.

Kecekapan tadbir urus juga menjadi antara agenda yang diberi tumpuan BN sekiranya diberi mandat yang mana gabungan itu akan memastikan tadbir urus bersih dan telus dilaksanakan dalam tempoh 100 hari memerintah.

Dalam pada itu, sokongan sosial kepada komuniti turut dijadikan agenda, antaranya, menyediakan kemudahan ambulans percuma, bantuan pengurusan jenazah, memperluaskan kemudahan WIFI dan pusat internet percuma serta memperkasakan masyarakat Orang Asli, orang kelainan upaya (OKU), warga emas, kanak-kanak dan wanita.

Dari aspek kemudahan awam pula, pelbagai perancangan telah dirangka termasuklah menyediakan bas percuma di luar bandar, menambah baik jaringan jalan raya seluruh Melaka serta meneruskan pembinaan lebuh raya pesisir pantai di negeri ini.

Selain itu, masalah banjir yang sering berlaku juga diberi penekanan dengan memperuntukkan sejumlah RM931.2 juta bagi melaksanakan rancangan tebatan banjir dapat dilaksanakan dalam tempoh lima tahun.

Berdasarkan buku manifesto Melaka 5 tahun yang dilancarkan, boleh dikatakan semua golongan di Melaka akan menerima manfaatnya.

Ia termasuklah dari aspek kehidupan pasca COVID-19 dengan tawaran pelbagai diskaun khas serta pengurangan cukai seperti cukai tanah, cukai pintu dan bil air untuk rakyat negeri ini.

Sementara itu, dalam sidang media selepas pelancaran manifesto, Mohamad turut mengesahkan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali kekal sebagai calon Ketua Menteri Melaka sekiranya BN memenangi PRN 20 Nov ini.

Katanya, ia berikutan Sulaiman tidak mempunyai sebarang isu sewaktu memimpin negeri ini sebelum ini.

“Kita punyai Ketua Menteri ‘designate’ (iaitu) Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai ‘incumbent’ (penyandang jawatan) maka beliaulah yang akan menerajui pentadbiran negeri Melaka.

“Kita harap supaya dengan pentadbiran beliau yang diterima oleh ramai, mana-mana kita pergi di Melaka ini, Sulaiman tidak ada apa-apa isu.

“Maka Insyallah dengan izin Allah Taala, (jika) kita menang kita akan jadikan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali sebagai Ketua Menteri dari BN yang baharu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut melaungkan keyakinan BN mampu memenangi pilihan raya berdasarkan ‘track record’ baik yang dipegang selain kestabilan yang dimiliki parti itu sejak 62 tahun lalu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1266
Kongsi :
Previous post Adly diumum calon tunggal KM jika PH memerintah
Next post Polis kesan empat lelaki bantu siasatan kes bunuh
Ubah saiz-+=