Dua beradik langgar lampu isyarat parah dirempuh lori

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

ALOR GAJAH 1 FEB – Sikap ambil mudah seorang kakak yang melanggar lampu isyarat merah menyebabkan nyawanya dan adiknya hampir melayang selepas motosikal mereka berlanggar dengan sebuah lori di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) malam tadi.

Menerusi video ‘dashcam’ yang tular di media sosial penunggang berkenaan bukan sahaja melanggar lampu isyarat merah malah tidak menghiraukan aliran trafik dari arah Plaza Tol Simpang Ampat menghala ke Alor Gajah.

Namun dia kurang bernasib baik selepas motosikal ditunggang berlanggar dengan sebuah lori dari arah pekan Alor Gajah menyebabkan dia dan adiknya terjatuh dan terbaring di atas jalan raya.

Pemandu lori yang prihatin memberhentikan kenderaannya beberapa meter dari lokasi kemalangan manakala penunggang dan pembonceng terbabit dibantu beberapa pengguna jalan raya yang lain.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kemalangan berkenaan.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori dipandu lelaki berusia 28 tahun meneruskan perjalanan ketika lampu isyarat menunjukkan warna hijau.

“Pada masa sama, penunggang motosikal yang dari arah bertentangan membelok ke kanan sebelum dirempuh lori berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang dan pembonceng yang merupakan dua beradik masing-masing berusia 28 dan 19 tahun parah pada anggota badan, manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya.

MOTOSIKAL dinaiki dua beradik dirempuh lori dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Simpang Ampat, Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah- Jasin (AMJ) malam tadi. Foto ihsan PDRM

Arshad berkata, setakat ini dua beradik berkenaan dirawat di Zon Merah Hospital Alor Gajah dan mereka dilaporkan masih belum sedarkan diri.

“Pemandu lori dan kelindan berusia 28 tahun diminta hadir ke Balai Polis Trafik Alor Gajah untuk siasatan lanjut.

“Kedua-dua kenderaan dibawa ke balai sama untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2173
Kongsi :
Previous post PRN Johor: PN muktamad senarai calon minggu depan – Muhyiddin
Next post Kerajaan sedia RM19.2 juta bantu PSK tahun ini – PM Ismail Sabri
Ubah saiz-+=