8,330 KRT ditubuhkan di seluruh negara

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

NABAWAN, 18 Sept – Sebanyak 8,330 Komuniti Rukun Tetangga (KRT) telah ditubuhkan di seluruh negara setakat ini dalam usaha memperkasa komuniti setempat, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

“Sabah mempunyai bilangan KRT kedua terbanyak selepas Selangor dengan jumlah keseluruhan 1,069 KRT.

“Sebanyak 117 KRT di Parlimen Pensiangan meliputi tiga daerah iaitu Keningau, Nabawan dan Sook Kecil,” katanya ketika berucap merasmikan program Semarak Uniti Keluarga Malaysia Peringkat Parlimen Pensiangan, di Dewan Terbuka Nabawan di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup yang juga Ahli Parlimen Pensiangan dan Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmy Yahya.

Sempena program dua hari itu yang berakhir hari ini, Halimah turut melancarkan Agenda Kerja Komuniti Rukun Tetangga (RT4ALL) merangkumi empat agenda iaitu Gerak Kerja KRT Sejahtera, Gerak Kerja KRT Selamat, Gerak Kerja KRT Bersih dan Indah serta Gerak Kerja KRT Sihat.

Mengulas mengenai Semarak Uniti Keluarga Malaysia, Halimah berkata penganjuran program itu adalah bagi menyokong aspirasi Keluarga Malaysia dan merupakan tapak integrasi untuk membina dan menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat.

Sementara itu, Arthur dalam ucapan sama berkata 117 KRT di Parlimen Pensiangan, yang merupakan antara terbanyak di Sabah, menunjukkan sambutan baik dalam penubuhan KRT sebagai agen perpaduan rakyat.

“Ini juga menunjukkan bahawa penduduk di kawasan pedalaman menyambut baik penubuhan KRT, malah sebagai Ahli Parlimen saya sentiasa bekerjasama erat dengan KRT.

“Sepanjang tempoh dua tahun yang lalu, saya telah memberi sumbangan sebanyak RM70,000 kepada 30 buah KRT di Parlimen Pensiangan bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti kemasyarakatan serta membina infrastruktur rakyat secara bergotong-royong,” katanya. – BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1523
Kongsi :
Previous post 40 termasuk murid sekolah sertai kursus kendali bot penyelamat
Next post Banjir: Pintu air sedia dibuka bila-bila masa
Ubah saiz-+=