‘2022 tutup buku’: Imbasan Mac 2022

Masa Membaca:4 Minit, 29 Saat

3 Mac 2022

Dun Melaka lulus dua RUU

SERI NEGERI – Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bersetuju meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen membabitkan Perlembagaan Negeri Melaka Pindaan 2022 dan Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka Pindaan 2021.
Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata sokongan itu mengaitkan Enakmen membabitkan Perlembagaan Negeri Melaka Pindaan 2022 menerusi kerajaan negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah pun meluluskan cadangan usul menurunkan had umur calon kepada 18 tahun pada 8 Dis tahun lalu.
Manakala satu lagi RUU diluluskan ialah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Melaka (Pindaan 2021) yang dipinda selepas dua dekad di mana pindaan RUU pentadbiran agama Islam itu bertujuan memperkukuhkan lagi pelaksanaan hukum syarak, pentadbiran Mufti negeri, baitulmal, zakat dan pengurusan masjid.

3 Mac 2022

Bukit St Paul dikenali sebagai Bukit Melaka

BANDA HILIR – Penukaran nama Bukit St Paul kepada Bukit Melaka mampu mengembalikan nama asalnya kepada sejarah asal-usul bukit itu sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka.
Exco Pelancongan,Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis menegaskan tiada isu berhubung pertukaran nama tersebut memandangkan nama Bukit Melaka sememangnya sudah termaktub dalam sejarah sejak 1400 Masihi sebelum namanya ditukar ketika era penjajahan Belanda dan Portugis.

11 Mac 2022

Kerajaan Melaka tunai 58 inisiatif dalam 100 hari

SERI NEGERI – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali mengumumkan kesemua 58 inisiatif yang dijanjikan dalam tempoh 100 hari pentadbiran berjaya dicapai.
Katanya, pencapaian 100 peratus telah dicapai menerusi inisiatif yang mempunyai lima teras sejak mentadbir negeri bermula 21 Nov hingga 28 Feb lalu, sekali gus membuktikan betapa kerajaan negeri komited dalam memakmur dan mensejahterakan Melaka.

12 Mac 2022

PRN Johor: BN menang dua pertiga

JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) mendapat kemenangan selesa melebihi majoriti dua pertiga apabila berjaya memperoleh 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-15.
Menerusi keputusan rasmi dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Pakatan Harapan berjaya memenangi 11 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) tiga, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) masing-masing satu kerusi.

15 Mac 2022

Kafe Bas Klebang tinggal sejarah

KLEBANG – ‘Kafe Bas’ yang dahulunya pernah menceriakan suasana Dataran 1Malaysia Klebang kini hanya tinggal sejarah selepas semuanya telah dilupuskan.
Tindakan itu dilakukan susulan aduan orang ramai yang kecewa melihat keadaan kawasan itu yang terbiar usang dan menjadi tempat pembuangan sampah.

15 Mac 2022

Onn Hafiz angkat sumpah Menteri Besar Johor ke-19

JOHOR BAHRU – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap Datuk Onn Hafiz Ghazi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar ke-19, 15 Mac lalu.
Beliau yang bersongkok, berbaju Melayu Teluk Belanga berwarna hitam serta lengkap bersampin mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar di Balai Mengadap Istana Bukit Serene di sini.

15 Mac 2022

Melaka bawa pulang pelaburan RM5 bilion dari Dubai

DUBAI – Angka RM5 bilion menerusi lima memorandum persefahaman (Mou) dan dua memorandum perjanjian (MoA) ditandatangani di Melaka Week di Expo 2020 Dubai, 15 Mac lalu, bakal menyaksikan ekonomi Melaka terkesan akibat COVID-19 kembali melonjak.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, angka itu juga melepasi sasaran RM500 juta yang ditetapkan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) pada expo menjadi tumpuan dunia itu.

mac (ekspo dubai)
Ekspo Dubai 2022

16 Mac 2022

Kerajaan setuju benarkan pengeluaran khas KWSP RM10,000 – PM

KUALA LUMPUR – Mantan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju membenarkan rakyat membuat pengeluaran khas wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM10,000.
Katanya, kebenaran itu diberikan setelah mendengar dan mengkaji keluhan rakyat yang ada di antaranya masih terjejas ekoran pandemik COVID-19.

18 Mac 2022

Expo 2020 Dubai: Melaka Week catat 40,000 pengunjung

DUBAI – Melaka Week yang berlangsung di Expo 2020 Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mencatat kejayaan membanggakan apabila merekodkan lebih 40,000 pengunjung.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, malah ketika penganjuran Melaka Week, Pavillion Malaysia telah mencipta sejarah apabila mencatatkan jumlah bilangan pengunjung keseluruhan melebihi satu juta orang.

21 Mac 2022

Dr Massila dilantik Naib Canselor UTeM baharu

AYER KEROH – Prof. Ts. Dr. Massila Kamalrudin dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang baharu berkuat kuasa 21 Mac 2022 sehingga 20 Mac 2025.
Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor kelima UTeM adalah bagi menggantikan Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim yang telah tamat tempoh lantikan sebelum ini.

29 Mac 2022

Tun Mohd Ali dianugerah Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan

ARAU – Universiti Sains Malaysia (USM) pada 29 Mac lalu menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Ekonomi Pembangunan (Hon. D. Dev. Econs) kepada Yang di-Pertua Negeri Melaka Tun Seri Setia Dr Mohd Ali Mohd Rustam bagi menghargai sumbangan beliau yang cemerlang dalam bidang ekonomi.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail yang juga Canselor USM berkenan menyampaikan ijazah kehormat itu kepada Mohd Ali sempena sidang pertama Upacara Konvokesyen Ke-59 USM yang berlangsung di Istana Arau di sini.

30 Mac 2022

Sejuta Honda ‘lahir’ di Melaka

TABOH NANING – Kejayaan Honda Malaysia Sdn Bhd mengeluarkan satu juta unit kenderaan di kilang pengeluarannya di Pegoh dianggap satu pencapaian membanggakan biarpun ketika dunia berdepan krisis kewangan susulan pandemik COVID-19.
Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali berkata, sejarah itu tercipta selepas 20 tahun syarikat itu bertapak di negara ini menunjukkan kejayaan itu juga adalah bukti kerja keras, amalan pengurusan strategik dan berkesan diamalkan Honda Malaysia

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1509
Kongsi :
Previous post Pesta Bunga Melaka bakal dijadikan acara tahunan
Next post Program selawat jadi acara ulang tahun setiap PBT Melaka – Exco
Ubah saiz-+=