
AARON OPTIMIS SUMBANG PINGAT DI SUKAN SEA THAILAND
BANDARAYA MELAKA 10 November – Pemain badminton beregu lelaki negara Aaron Chia Teng Fong, optimis untuk menyumbang pingat kepada kontinjen negara pada Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini.
Atlet kelahiran Batu Berendam, itu berkata, dalam tempoh ini dia tidak menyertai sebarang kejohanan sebaliknya perhatian diberikan untuk persiapan bagi memasuki gelanggang temasya dwi tahunan itu.
“Fokus utama saya sekarang adalah memberi perhatian untuk persiapan dan latihan bagi menghadapi Sukan SEA Thailand pada bulan hadapan.
“Sudah pasti sasaran saya dan rakan regu untuk menyumbang serta membawa pulang pingat buat negara, malah anugerah olahragawan diterima ini secara tidak langsung menjadi pembakar semangat.
“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri atas kepercayaan dan penghargaan diberikan kepada saya selama dua kali berturut-turut,” katanya.
Aaron berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Sukan Negeri Melaka Ke-39 Bagi Tahun 2023/2024 yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam, di sebuah hotel di Lorong Bendahara, hari ini.
Hadir sama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, Exco Belia, Sukan dan NGO Negeri Datuk VP Shanmugam, barisan Exco dan Timbalan Exco Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Negeri Melaka Mohd Asri Ninggal.
Sementara itu, Aaron yang sebelum ini bergandingan dengan Soh Wooi Yik berlapang dada sekiranya digandingkan dengan rakan regu baharu pada temasya sukan dwi tahunan tersebut.
“Sebarang keputusan itu akan ditentukan oleh jurulatih dan saya sedia menerima sebarang keputusan diputuskan nanti.
“Bagi saya ini tiada masalah untuk digandingkan dengan rakan regu baharu Man Wei Chong mahupun Tee Kai Wun memandangkan mereka juga atlet kelahiran Melaka,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


