Sorting by

×

AB RAUF DUKUNG HASRAT SJKC BERTAM ULU BANGUNKAN KELAS PENDIDIKAN ISLAM

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

SUNGAI UDANG 28 Mei – Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menyambut baik hasrat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Ulu untuk membangunkan sebuah kelas khas Pendidikan Islam bagi murid-murid beragama Islam yang belajar di situ.

Beliau berkata, hasrat itu dizahirkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Baru (JPKKB) Bertam Ulu yang membawa suara guru-guru di sekolah berkenaan.

Jelas beliau, permintaan itu perlu diberi perhatian khusus memandangkan bilangan pelajar Melayu di sekolah itu kini lebih 100 orang.

“Antara hasrat warga sekolah ini adalah untuk mendapatkan bangunan baharu yang mana ia turut dicadang untuk dibangunkan satu kelas khas Pendidikan Islam bagi membantu murid belajar dalam suasana lebih kondusif.

“Bangunan sedia ada sekarang sudah agak padat ekoran daripada pertambahan pelajar, selain permohonan untuk bangunan baharu itu sebenarnya sudah diluluskan pada peruntukan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK 9) lalu, namun tertangguh hingga kini.

“Jadi Kerajaan Negeri akan membantu sebaik mungkin untuk pembinaan bangunan dan kelas agama ini direalisasikan, di mana, kita akan memberi maklum balas dalam masa terdekat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Perjumpaan Bersama Pemimpin Tempatan Masyarakat Cina bersempena Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang di SJKC Bertam Ulu, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri merangkap Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin; Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman; Pegawai Daerah Melaka Tengah Mohd Shaiful Hizam Johan serta pemimpin-pemimpin setempat.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut memuji keharmonian masyarakat berbilang kaum di Bertam Ulu yang menerapkan semangat muhibah dan saling hormat-menghormati.

Malah, beliau turut menyanjung tinggi JPKKB Bertam Ulu yang telah memberikan tapak tanah milik mereka untuk Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Bertam Ulu beroperasi betul-betul di sebelah SJKC Bertam Ulu.

Dalam lawatannya ke SRA JAIM berkenaan, Ketua Menteri turut akan berusaha untuk membantu permohonan sekolah agama berkenaan mendapatkan pagar dan bangunan baharu bagi memberi lebih keselesaan kepada murid yang mendapatkan pendidikan agama di situ.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

492
Kongsi :
Previous post RESTORAN NASI KANDAR TAMBAH WARNA PELANCONGAN KULINARI MELAKA
Next post MELAKA TERIMA KELULUSAN RM450 JUTA LAKSANA RTB SUNGAI BARU, MASJID TANAH