Sorting by

×

AB RAUF GARISKAN TIGA PERANAN WAKIL RAKYAT

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

BANDA HILIR 20 Disember – Wakil rakyat tidak lagi boleh lagi dilihat sebagai sekadar pembuat dasar sebaliknya berperanan sebagai penghubung suara rakyat, pemantau pelaksanaan dasar kerajaan dan penyelesai masalah peringkat akar umbi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) memikul tiga peranan utama yang perlu dilaksanakan dengan integriti dan tanggungjawab demi memastikan sistem demokrasi terus diyakini.

Menurutnya, peranan pertama wakil rakyat adalah sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat bagi memastikan suara, keperluan serta keluhan masyarakat dapat disampaikan terus kepada pembuat dasar tanpa tapisan serta tanpa kepentingan lain.

“Peranan kedua pula ialah memantau pelaksanaan dasar dan program kerajaan, supaya setiap inisiatif yang diumumkan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan tidak sekadar kekal sebagai pengumuman di atas kertas..

“Manakala ketiga ialah sebagai penyelesai masalah, memandangkan wakil rakyat menjadi tempat rakyat mengadu berhubung pelbagai isu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Speaker-Speaker Parlimen dan Dewan Undangan Negeri Se-Malaysia 2025 bertemakan ‘Wakil Rakyat Untuk Rakyat: Cerminan Kepimpinan Legislatif’ di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama Yang Dipertua Dewan Negara Senator Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah; Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Dr. Johari Abdul; Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Wira Ibrahim Durum; Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Azhar Arshad serta barisan Speaker-Speaker Dewan Undangan Negeri.

Ab Rauf berkata, tidak dapat dinafikan bahawa sebahagian rakyat hari ini sedang berhadapan dengan keletihan politik dan krisis kepercayaan, namun keadaan itu bukan bermakna mereka menolak demokrasi.

“Rakyat menuntut kepimpinan yang lebih jujur, dekat dengan rakyat, bertanggungjawab serta lebih cekap dalam tindakan penyelesaian.

“Justeru, tanggungjawab wakil rakyat hari ini bukan sekadar berkhidmatntetapi memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem yang kita wakili,” katanya.

Katanya, tema persidangan tahun ini membawa mesej jelas bahawa mandat yang datang daripada rakyat mesti dikembalikan semula kepada rakyat.

“Ia bukan sekadar melalui ucapan atau pengiktirafan tetapi melalui perkhidmatan yang benar-benar membela rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

278
Kongsi :
Previous post MASJID TANAH KAMPUNG KITA MAMPU JADI JENAMA HEBAT
Next post ‘DEWAN BUKAN MEDAN PERANG, TAPI UNTUK MEMBELA RAKYAT’ – AB RAUF