Sorting by

×

AB RAUF LUANGKAN MASA SANTUNI ORANG DURIAN TUNGGAL

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DURIAN TUNGGAL 11 Julai – Meskipun sibuk dengan urusan pentadbiran negeri, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh ‘mencuri’ masa untuk bersarapan bersama penduduk dan melawat beberapa individu sedang diuji dengan masalah kesihatan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Durian Tunggal menerusi program ‘Ziarah Kasih’.

Ketua Menteri berkata, program bertujuan untuk merapatkan hubungan antara pemimpin dan rakyat itu berlangsung dalam suasana santai serta tidak dirancang secara rasmi atau terlalu formal.

Katanya, pendekatan seumpama itu menjadikan perjumpaan kedua-dua belah berlangsung dalam suasana lebih mesra, selain rakyat terbuka dalam menyuarakan permasalahan atau berkongsi pendapat.

“Ziarah kasih ini tidak dirancang dan sebenarnya bukan dalam jadual rasmi. Saya datang untuk membuat kunjungan kasih yang turut melibatkan pemimpin sekitar DUN Durian Tunggal secara santai, tanpa sebarang formaliti.

“Pada masa sama, kita menyelami masalah mrakyat yang memerlukan perhatian dan tindakan segera daripada Kerajaan Negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas mengadakan Ziarah Kasih itu di DUN Durian Tunggal di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal, Datuk Zahari Abd Kalil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Md Azhan Samad; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datin Sapiah Haron; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG), TPr. Saifuddin Abdul Karim serta wakil agensi dan jabatan Kerajaan Negeri lain.

Tambah Ab Rauf, lawatan seumpama itu akan diteruskan di DUN lain bagi mengenal pasti keperluan rakyat dan diberi perhatian sewajarnya menerusi jabatan dan agensi Kerajaan Negeri yang berkaitan.

“Kita mendengar pelbagai masalah masyarakat dan dapat lihat keperluan rakyat yang wajar diberi perhatian, sama ada peringkat DUN atau negeri.

“Saya akan mengambil perhatian terhadap perkara ini dan akan terus bersama masyarakat bagi memastikan kerajaan yang prihatin ini benar-benar mendengar dan bertindak terhadap denyut nadi rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

333
Kongsi :
Previous post AB RAUF ZAHIR TAKZIAH BUAT DR. MUHAMAD AKMAL
Next post ADUAN SISTEM SALIRAN PALING BANYAK DITERIMA SEPANJANG WRUR BEMBAN