Sorting by

×

AB RAUF TITIP TIGA PESANAN KEPADA GENERASI MUDA MELAKA

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

LENDU 7 Mac – Mengejar ilmu, memelihara integriti dan menanam rasa cinta kepada negara antara tiga pesanan utama Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh kepada generasi muda di negeri ini.

Tegasnya, tiga perkara itu penting sebagai asas dalam membentuk generasi yang mampu memimpin masyarakat dan negara pada masa hadapan.

Katanya, ilmu merupakan kekuatan sebenar sesebuah bangsa, manakala integriti pula menjadi asas penting dalam membentuk kepimpinan yang dipercayai.

“Cintailah negara ini dengan sepenuh hati kerana masa depan Malaysia bergantung kepada kesetiaan generasinya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Slot Bicara Tokoh Kursus Kenegaraan Malaysia MADANI, Generasi MADANI ‘Bijak Laksana Tuah, Berani Laksana Jebat’ Siri 1 melibatkan pelajar Tingkatan Enam Negeri Melaka di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka Kampus Alor Gajah, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman; Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri Datuk Hameed Mytheen Kunjur Basheer serta Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkiflee Mohd Zin.

Hadir sama, Rektor UiTM Melaka Kampus Alor Gajah Prof. Datuk Ts. Dr. Mohd Rasdi Zaini; Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Melaka Mahfudzah Mohamed Noor serta Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia Negeri Melaka Agus Putra Apandi.

Program tersebut menghimpunkan hampir 1,000 pelajar Tingkatan Enam dari 21 sekolah di seluruh Negeri Melaka.

Dalam pada itu, Ab Rauf turut mengingatkan generasi muda di Melaka supaya bijak menilai maklumat terutama dalam era digital yang menyaksikan penyebaran maklumat berlaku dengan pantas melalui media sosial.

Katanya, golongan muda perlu berfikir secara matang sebelum mempercayai sesuatu maklumat selain menilai kesahihannya sebelum menyebarkannya kepada orang lain.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

375
Kongsi :
Previous post MELAKA MAHU LAHIRKAN PEMIKIR MUDA BERINTEGRITI
Next post UNIMEL BUKA RUANG KERJASAMA BANTU PELAJAR MEMERLUKAN