Sorting by

×

ABANG, ADIK CEDERA MOTOSIKAL TERBABIT KEMALANGAN DENGAN PERODUA MYVI

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

TELOK MAS 19 Januari – Penunggang dan pembonceng cedera selepas motosikal mereka terbabit kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi di Jalan Muar-Melaka, jam 7.30 pagi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, penunggang dan pembonceng motosikal adalah adik-beradik masing-masing berusia 14 dan 19 tahun.

Katanya, difahamkan penunggang berkenaan adalah penuntut sebuah institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Bukit Katil, manakala pembonceng pula pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah.

“Siasatan mendapati kedua-dua kenderaan adalah dari arah sama iaitu Alai menghala ke Merlimau. Namun ketika tiba di lokasi, Perodua Myvi berkenaan dikatakan mahu membelok ke kiri menghala ke Jalan Tawi, Telok Mas untuk mengambil penumpang.

“Namun penunggang motosikal berada di belakang tidak sempat mengelak lalu terlanggar bahagian sisi sebelah kiri Perodua Myvi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurutnya, akibat pelanggaran dua beradik berkenaan tercampak ke tengah jalan, mereka kemudian dikejarkan ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

“Setakat ini penunggang dirawat di zon merah Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka akibat cedera di kepala, manakala adiknya yang mengalami luka di badan pula dirawat di zon kuning hospital sama.

“Kedua-dua kenderaan terlibat kini ditahan sebelum dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk tindakan lanjut selain kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

260
Kongsi :
Previous post 2026 JADI TAHUN PELAKSANAAN MELAKA
Next post TIADA ISU RAKYAT BOLEH ‘DISIDAI’ TAHUN INI