
ABANG MAUT, ADIK CEDERA KERETA TERBABAS DI KM 182.7
JASIN 23 November – Perjalanan dua beradik dari arah Johor menghala ke Melaka berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut dalam nahas di Kilometer 182.7 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, penumpang hadapan iaitu lelaki berusia 22 tahun disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala dan badan, manakala pemandu kereta berusia 20 tahun mengalami kecederaan di bahagian badan dan tangan.
Ketua Polis Daerah Jasin Pemangku Superintenden Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang menaiki kereta jenis Honda Civic sedang menghala ke arah utara dari Johor.
Katanya, ketika di lokasi, kereta yang dipandu telah terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.
“Kemalangan itu menyebabkan pemandu berusia 20 tahun terjatuh dan terbalik di sebelah kiri jalan menyebabkannya mengalami kecederaan serta dibawa ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan.
“Manakala abang pemandu berusia 22 tahun pula disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan,” katanya.
Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin Bestari Pegawai Bomba Kanan I (TBK I) Abdul Razak Taat memaklumkan, pihaknya menerima panggilan pada jam 8.47 pagi dan menggerakkan seramai lapan anggota ke lokasi.
Katanya, jentera tiba 10 minit selepas itu bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dan operasi tamat pada jam 10.18 pagi.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

