
ADTEC KAMPUS SELANDAR HIMPUN PELAJAR TVET TAHFIZ
SELANDAR 7 Julai – Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Selandar, menjadi satu-satunya institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menghimpunkan pelajar aliran tahfiz secara eksklusif.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, ADTEC JTM Kampus Selandar bukan sahaja memperluaskan akses pendidikan teknikal kepada pelajar aliran tidak formal, malah dapat memastikan mereka turut terangkum dalam arus perdana pembangunan negara.
Shamsul Azri berkata, inisiatif itu bukan sahaja menepis stigma bahawa pelajar aliran tahfiz tidak boleh menjadi golongan profesional sebaliknya membuka ruang lebih luas kepada para huffaz.
“Saya percaya inilah ruang dan peluang untuk ADTEC JTM Kampus Selandar membina sebuah identiti unik yang bukan sahaja menonjol dalam bidang kemahiran tetapi turut mengangkat warisan ilmu al-Quran mengikut arus pembangunan negara.
“Pengambilan pertama pada Julai 2024 melibatkan 104 peserta dan hari ini juga sudah dibuat pemilihan, insya-Allah akan ada 100 pelajar yang akan memulakan sesi baharu dan belajar di sini.
“Ini adalah satu daripada inisiatif Kerajaan yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang merupakan orang kuat dalam merealisasikan TVET Tahfiz ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Mahrajan TVET Tahfiz Dan Majlis Pertukaran Dokumen Kerjasama Bersama Rakan Strategik ADTEC JTM Kampus Selandar Tahun 2025 di ADTEC JTM Kampus Selandar, hari ini.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Dato’ Azhar Arshad; Ketua Pengarah JTM, Datuk Rospiagos Taha dan Pengarah Kolej Teknologi Termaju JTM Kampus Selandar, Ts. Rostam Hashim.
Menurut, Shamsul Azri, secara keseluruhan terdapat 200,000 pelajar tahfiz termasuk di institusi swasta seluruh negara pada waktu ini.
“Daripada jumlah itu kita cuba dapatkan 30 peratus untuk mengikuti program TVET Tahfiz. Ini adalah satu langkah baharu yang mana kita mahu jadikan insan yang sumur bukan sahaja memiliki insaniah berilmu dan beragama tetapi juga mempunyai kepakaran dalam bidang teknikal.
“Kebolehpasaran graduan TVET Tahfiz juga amat baik. Contoh ada pelajar tahfiz kini bekerja di Composites Technology Research Malaysia (CTRM), iaitu syarikat yang menghasilkan komponen kapal terbang,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.