Sorting by

×

ADUAN BERTAHUN SELESAI DI BAWAH ‘TOK RAIS’

Masa Membaca:1 Minit, 39 Saat

PAYA RUMPUT 1 Mac – Pelbagai aduan melibatkan lampu jalan, turapan jalan serta kemudahan awam di bawah kawasan Hujong Padang telah berjaya diselesaikan secara proaktif di bawah kepimpinan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.

Itu merupakan antara kejayaan yang dikongsi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Hujong Padang Mohd Redzuan Mamat, 39.

Beliau yang menjawat jawatan pemimpin masyarakat sejak tahun 2021 memaklumkan, bukan sahaja isu-isu baharu, malah aduan yang sudah bertahun membelenggu penduduk sebelum ini juga berjaya diselesaikan.

“Sebelum ini di beberapa kampung dan laluan taman yang gelap dalam kawasan kejiranan ini menjadi isu kerana penduduk telah lama memohon untuk mendapatkan lampu jalan, alhamdulillah beliau (Datuk Rais) yang juga anak jati Paya Rumput memahami dan berjaya menyelesaikan aduan tertangguh yang sebelum ini menjadi rungutan penduduk.

“Selain itu, komitmen wakil rakyat kami turut dilihat apabila kebanyakan aduan utama dalam kawasan ini termasuk kerja-kerja turapan telah diselesaikan hasil kerjasama Japerun Paya Rumput,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Menurut Mohd Redzuan, antara perkembangan terbaharu, Hujong Padang bakal memiliki balai raya baharu yang kini sedang menunggu proses pembinaan selepas peruntukan diluluskan.

“Permohonan balai raya sudah diluluskan dan tapak telah dilawat, cuma kita tunggu giliran pelaksanaan dan saya yakin pembinaan balai raya ini kelak dapat memberi manfaat kepada masyarakat sekitar dan penduduk setempat secara menyeluruh,” jelasnya.

Tambah Mohd Redzuan, JPKK Hujong Padang telah ditubuhkan pada tahun 2016 dan sehingga kini merangkumi empat taman utama termasuk Taman Paya Emas, Taman Paya Rumput Bestari dan lokaliti kampung seperti Kampung Solok Bangsal, Jalan Yong Lian, Jalan Sidang Jaafar dan beberapa lagi.

“Untuk misi dan visi selaku Pengerusi JPKK Hujong Padang, saya berhasrat menjadi medium yang membantu Adun Paya Rumput untuk mencapai pengurangan aduan secara menyeluruh dengan pendekatan pencegahan awal.

“Kita mungkin tidak dapat capai sifar aduan sepenuhnya, tetapi sasaran kita adalah selesaikan isu sebelum penduduk perlu membuat aduan rasmi dan yang paling utama adalah untuk memastikan kesejahteraan komuniti terus terpelihara,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

395
Kongsi :
Previous post SCIENTEX BINA 3,700 RUMAH MAMPU MILIK DI PAYA RUMPUT
Next post PELUANG DAPAT ‘E-WALLET’ RM20 DI 4 BAZAR RAMADAN RAHMAH MELAKA