Sorting by

×

ADUAN RAKYAT PAYA RUMPUT DIKATEGORIKAN IKUT KEUTAMAAN – RAIS

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

PAYA RUMPUT 13 Februari – Semua aduan yang diterima pada Hari Aduan Rakyat akan dikategorikan mengikut keutamaan dan tempoh pelaksanaan bagi memastikan setiap isu dapat diselesaikan secara terancang dan berkesan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata, pendekatan itu penting bagi memudahkan agensi terlibat menyelaras tindakan susulan berdasarkan tahap keutamaan dan keperluan sebenar di lapangan.

“Terdapat aduan yang boleh diselesaikan segera pada hari sama, selain aduan yang memerlukan tindakan jangka pendek serta sebahagiannya melibatkan peruntukan dan perancangan jangka panjang.

“Untuk mereka yang datang membuat aduan, ada yang boleh kita selesaikan terus. Namun ada juga yang memerlukan sedikit masa kerana perlu melalui proses tertentu atau melibatkan peruntukan.

“Kita akan kategorikan aduan-aduan ini mengikut keperluan sama ada boleh diselesaikan segera, dalam tempoh jangka pendek atau jangka panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Hari Aduan Rakyat sempena Karnival Demi Paya Rumput di Dewan MBMB Taman Paya Rumput Perdana, di sini, hari ini.

Program itu turut dihadiri Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Datuk Shadan Othman.

Rais berkata, jumlah aduan pada program kali ini dilihat tidak terlalu tinggi kerana sebahagian besar isu telah dibangkitkan dalam Program Hari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Bersama Rakyat (HEBAT).

“Program HEBAT sebelum ini merekodkan kira-kira 500 aduan termasuk daripada kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput sendiri.

“Jadi saya kira, aduan yang diterima pada Hari Aduan Rakyat ini tidak banyak kerana sebahagiannya mungkin sudah pun diambil tindakan hasil program HEBAT sebelum ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

363
Kongsi :
Previous post SERONOK LAYAN RAGAM GAJAH BETINA ZOO MELAKA
Next post PENIAGA DIINGATKAN SUPAYA PATUH SHMMP