
AGENSI AGAMA MELAKA SEDIA KEKANG KEGIATAN TIDAK BERMORAL
BUKIT PALAH 1 Disember – Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sentiasa peka dan melaksanakan pemantauan berterusan bagi mengekang semua bentuk aktiviti tidak bermoral di negeri ini.
Mufti Negeri Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil berkata, sesuai dengan saranan untuk menyuburkan syiar Islam, muslim di negeri ini boleh didakwa dan dikenakan tindakan jika diapati melakukan atau terbabit dalam perlakuan jenayah syariah.
“JAIM sentiasa menguatkuasakan undang-undang syariah menerusi pemantauan bagi mengesan sebarang aktiviti bertentangan dengan hukum Islam.
“Jika berlaku di Melaka (kejadian tidak bermoral, seks songsang) yang disokong bahan bukti, kita boleh dakwa pelaku terbabit di Mahkamah Syariah. Namun ia bergantung kepada syarat iaitu melibatkan sesama Islam atau pasangan orang Islam.
“Ia seperti kes yang berlaku baru-baru membabitkan tiga individu yang mana Mahkamah Tinggi Syariah Melaka telah menjatuhkan hukuman,” katanya ketika wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di Jabatan Mufti Negeri Melaka, Pusat Islam Melaka, Jalan Bukit Palah, Bukit Baru, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tangkapan seramai 201 individu disyaki terbabit dalam aktiviti songkang di Kuala Lumpur, kelmarin.
Menurut Abdul Halim, bagi membanteras sebarang aktiviti tidak bermoral operasi bersepadu membabitkan pelbagai jabatan dan agensi perlu digerakkan.
“Operasi bersepadu dilaksanakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Elemen ini harus berjalan serentak untuk melihat setiap sudut sama ada terdapat perlanggaran lesen yang berlaku mahupun penglibatan anak-anak bawah umur,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


