Sorting by

×

AGENSI, ANAK SYARIKAT MELAKA DISERU PERBANYAK INISIATIF CSR

Masa Membaca:1 Minit, 14 Saat

SERI NEGERI 30 Mac – Kesemua agensi kerajaan, anak syarikat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini dituntut untuk memperbanyakkan inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, berdasarkan prestasi dan keteguhan ditunjukkan agensi-agensi dan GLC, beliau mahu inisiatif tersebut dilaksanakan bermula seawal April ini sehingga hujung tahun.

Dengan membawa tekad Demi Rakyat Untuk Rakyat, kata beliau, ia sejajar dengan gagasan Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) yang akhirnya membentuk sebuah kerajaan stabil pada hari ini.

“Sehubungan dengan itu, YB Datuk Wira Azhar, Setiausaha Kerajaan Negeri perlu mengetuai dan menyelaras takwim kerja-kerja CSR membantu rakyat bagi memastikan penjadualan CSR ini teratur dan padat.

“Saya ulang ‘Demi Rakyat Untuk Rakyat’.. Maka, tahun ini bukan tahun untuk alasan, bukan juga tahun untuk menunggu. Ia adalah tahun untuk tindakan, prestasi dan hasil sebenar buat rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Sesi Libat Urus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agensi dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wira Azhar Arshad; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Wira Salhah Salleh serta ketua-ketua jabatan, agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri.

Menurut Ketua Menteri, inisiatif itu juga menuntut tanggungjawab barisan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan yang akan memantau pelaksanaannya di peringkat akar umbi.

“Saya akan minta mereka untuk terus turun padang, memantau pelaksanaan di peringkat akar umbi dan memastikan setiap isu ditangani dengan segera dan berkesan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

473
Kongsi :
Previous post DERITA ADIK UWAIS DAPAT PERHATIAN MAIM, YB DUYONG