Sorting by

×

AHLI MYSTAR BAWAH 18 TAHUN NIKMATI DISKAUN TIKET MENARA TAMING SARI

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

BANDA HILIR 21 Mei – Menara Taming Sari (MTS) menawarkan diskaun tiket kepada ahli Kelab Mystar berusia bawah 18 tahun menerusi kerjasama dengan Co-opbank Pertama (CBP).

Tawaran ini adalah susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara CBP dan MTS dalam majlis berlangsung di Bilik Mesyuarat, Bangunan Pentadbiran MTS, di sini, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Taming Sari Berhad (MTSB) Nur Azan Hassan berkata, pemegang akaun Mystar kini boleh menikmati harga tiket RM13 berbanding RM15, dari jam 9 pagi hingga 6 petang setiap hari.

“Tawaran ini terbuka kepada lebih 10,000 ahli Mystar seluruh negara. Kita harap kerjasama ini dapat tarik lebih ramai pengunjung dari luar Melaka. Jadi kita menjangkakan yang datang ke MTS selepas ini lebih ramai khususnya dari Kuala Lumpur, Negeri sembilan dan serata Malaysia.

“Kita juga memang sentiasa mengalu-alukan apa-apa sahaja kolaborasi yang bersifat menang-menang, kerana kita menyediakan produk pelancongan yang perlu dirasai semua,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Sementara itu Ketua Jabatan Deposit Runcit CBP Zalifah Ibrahim berkata, setiap pemegang akaun Mystar secara automatik menjadi ahli kelab dan layak menikmati diskaun ini.

“Tawaran diskaun istimewa ini dijangka menarik lebih ramai ibu bapa membuka akaun Mystar untuk anak mereka yang akan menerima pelbagai manfaat seperti penyertaan kem cuti sekolah dan penerimaan anugerah kecemerlangan akademik.

“Dengan 34 cawangan seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak, CBP menjangkakan lebih ramai keluarga akan memanfaatkan promosi ini apabila melancong ke Melaka,” katanya

Terdahulu majlis menandatangani MoU itu melibatkan Nur Azan yang mewakili MTSB, manakala Zalifah pula mewakili CBP.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1147
Kongsi :
Previous post MELAKA KOMITED PERKUKUH INSTITUSI PENDIDIKAN AGAMA
Next post TIADA LAGI KERESAHAN RISIKO BERLAKU LITAR PINTAS