
AI AWARENESS RAKYAT DIGITAL BAWA IMPAK POSITIF UNTUK MELAKA
AYER KEROH 7 Januari – Program AI Awareness Rakyat Digital dijangka memberi impak positif dalam usaha meningkatkan kesedaran dan kefahaman masyarakat mengenai teknologi kecerdasan buatan (AI).
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, AI Awareness Rakyat Digital menerima peruntukan RM56,000 melalui Program Rakyat Digital Negeri Melaka.
Katanya, inisiatif melaksanakan program itu dilihat mampu mengukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan, Dewan Belia dan JAPERUN, menyokong pendigitalan komuniti setempat serta memupuk bakat muda dalam bidang teknologi dan inovasi.
“Program ini diperkenalkan sebagai inisiatif sokongan ke arah merealisasikan objektif Pelan Strategik Melakaku Maju Jaya (PSMJ) 2035, khususnya di bawah teras Transformasi Ekonomi dan Pekerjaan Masa Hadapan serta agenda Digital Empowerment dalam Smart Melaka Blueprint.
“Ia sebagai usaha memberi penekanan kepada pendekatan pendidikan komuniti dan pendedahan asas teknologi AI bagi memupuk kesedaran awal serta menyemai minat terhadap teknologi digital dalam kalangan rakyat, khususnya generasi belia.
“Pusat Pengurusan Kolaborasi RICE Melaka @Universiti Teknikal Malaysia (UTeM) bertindak sebagai agensi penganjur dengan kerjasama Dewan Belia Melaka,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Mengulas lanjut, Fairul Nizam berkata antara objektif utama pelaksanaan program itu adalah untuk memberi pendedahan asas mengenai konsep dan aplikasi AI.
Katanya, ia juga meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan teknologi dalam kehidupan seharian serta peluang pekerjaan masa hadapan, selain menggalakkan penglibatan belia dalam bidang teknologi dan inovasi digital.
“Kandungan modul yang ditawarkan merangkumi AI Awareness dan AI Appreciation yang direka bagi meningkatkan kefahaman asas serta apresiasi terhadap teknologi AI dalam konteks semasa,” katanya.
Untuk rekod, pelaksanaan program itu akan berlangsung sebanyak 28 siri merangkumi 28 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Melaka sepanjang tempoh dua bulan bermula Disember 2025 hingga Januari 2026.
Program itu akan diadakan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di setiap DUN dan menyasarkan penyertaan seramai 560 orang belia.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


