Sorting by

×

AIDILADHA SERLAH SEMANGAT KERJASAMA, PERKUKUH SILATURAHIM – KM

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

TANJUNG BIDARA 7 Jun – Aidiladha tahun ini bukan sahaja mengajar umat Islam erti pengorbanan, bahkan ia juga memupuk semangat kerjasama dalam kalangan masyarakat pelbagai peringkat umur.

Perkara itu dizahirkan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh yang meluangkan masa hampir tiga jam meronda seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara bagi melakukan santunan kasih kepada petugas-petugas korban.

Jelas Ketua Menteri, dalam kunjungannya ke sembilan lokasi didapati masyarakat yang terlibat telah menunjukkan keakraban dan hubungan silaturahim yang begitu erat.

“Daripada santunan saya tadi, saya dapat melihat makna dan erti sebenar sambutan Aidiladha yang cukup bermakna tahun ini.

“Terima kasih kepada seluruh masyarakat kerana telah menzahirkan satu semangat kerjasama dan ikatan silaturahim yang cukup kuat sama ada yang tua mahupun muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas menyantuni petugas korban di sembilan lokasi dalam DUN Tanjung Bidara yang diakhiri di Kampung Air Hitam Darat.

Img 20250607 wa0010
KETUA Menteri menyempurnakan agihan daging korban kepada masyarakat dan asnaf di Kampung Ujong Padang.

Menurut Ab Rauf, pada hari raya pertama Aidiladha sahaja, dianggarkan lebih 35 ekor lembu telah dikorbankan membabitkan seluruh DUN Tanjung Bidara.

Jelas beliau, ia merupakan sumbangan peribadi beliau, selain turut membabitkan sumbangan individu dan agensi Kerajaan Negeri.

Antara agensi Kerajaan Negeri yang tampil menyumbangkan haiwan korban di DUN Tanjung Bidara pada tahun ini adalah Perbadanan Ketua Menteri (CMI) dengan sumbangan tiga ekor lembu untuk diagihkan kepada asnaf dan masyarakat di Kampung Pulau.

Terdahulu, antara lokasi yang dilawati Ketua Menteri adalah Kampung Pulau, Kampung Lubuk Redan, Kampung Ujong Padang, Padang Kemunting, Pasir Gembor dan Balik Batu.

Selain itu, beliau turut menyantuni petugas dan masyarakat di Kampung Air Hitam Pantai, Kampung Air Hitam Darat dan di kediaman beliau di Villa d’Acqua.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

968
Kongsi :
Previous post AB RAUF ‘PUSING’ TANJUNG BIDARA SANTUNI PETUGAS KORBAN
Next post MELAKA ‘TUMBANG’ LEBIH 5,000 LEMBU SEMPENA AIDILADHA