Sorting by

×

AIDILFITRI: MELAKA KENAL PASTI 10 LOKASI PANAS KEMALANGAN

Masa Membaca:1 Minit, 57 Saat

TABOH NANING 18 Mac – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Melaka mengenal pasti sebanyak 10 lokasi ‘hotspot’ risiko kemalangan tinggi di seluruh negeri ini sepanjang Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, daerah Alor Gajah merekodkan titik panas kemalangan terbanyak iaitu lima lokasi diikuti tiga lokasi di Jasin dan dua lagi di Melaka Tengah.

Beliau berkata, lokasi panas itu dikenal pasti bukan sahaja mempunyai risiko kemalangan yang tinggi tetapi juga kesalahan lalu lintas yang kerap berlaku berdasarkan analisis data kemalangan termasuk rekod penguatkuasaan.

“Di daerah Alor Gajah lokasi yang dikenal pasti membabitkan Lebuh AMJ Umbai-Sungai Udang (KM50); Lebuh SPA Ayer Keroh-Sungai Udang (KM12.8); Jalan Alor Gajah-Tampin (KM14.8); Jalan Rembia-Kendong (KM12.4) dan Jalan Masjid Tanah-Bukit Sedanan (KM6.8).

“Bagi daerah Jasin pula lokasi dikenal pasti adalah Jalan Gapam-Bemban (KM8.6); Jalan Merlimau-Jasin (KM12.5) dan Jalan Tehel-Bemban-Chabau (KM7.2). Manakala di Melaka Tengah pula membabitkan Jalan Banda Hilir-Klebang (KM8.6) serta Jalan Sungai Udang-Lubok China (KM8.4).

“Justeru itu JPJ akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala di kesemua lokasi dikenal pasti ini bagi meningkatkan tahap keselamatan jalan raya termasuk pematuhan undang-undang lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2026, di Plaza Tol Simpang Ampat, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning Datuk Zulkiflee Mohd Zin dan Pengarah JPJ Melaka Siti Zarina Mohd Yusop.

Menurut Hameed, sempena operasi itu, JPJ Melaka turut melaksanakan program advokasi keselamatan jalan raya sebagai pencegahan dan pendidikan kepada masyarakat.

“Pendekatan ini bertujuan menyemai kesedaran bahawa keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama bukan semata-mata bergantung kepada penguatkuasaan pihak berkuasa.

“Selain itu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) juga akan melaksanakan ujian saringan air kencing terhadap pemandu kenderaan perkhidmatan awam khususnya bas ekspres pada 16 hingga 29 Mac depan di Melaka Sentral yang mana ia akan dilakukan satu jam sebelum perjalanan,” katanya.

Sementara itu beliau berkata, kempen itu dilaksanakan bagi memberi penekanan terhadap beberapa aspek penting termasuk pematuhan peraturan lalu lintas termasuk kepentingan merancang perjalanan bagi mengelakkan risiko ‘microsleep’ ketika memandu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

405
Kongsi :
Previous post TOK RAOP, DATUK REMY ISHAK SANTUNI ORANG TANJUNG BIDARA
Next post SETEM BERUSIA SATU ABAD JADI TARIKAN DI MUZIUM SEJARAH DAN ETNOGRAFI