
AIDILFITRI: MELAKA TINGKAT KUALITI JALUR LEBAR UNTUK KESELESAAN ANAK PERANTAU
ASAHAN 17 Mac – Kualiti liputan jalur lebar di Melaka, khususnya dalam kawasan luar bandar dipertingkat bagi memberi keselesaan kepada rakyat dan perantau yang pulang pada Hari Raya Aidilfitri ini.
Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata, bagi memastikan liputan telekomunikasi lebih baik, penyediaan infrastruktur telekomunikasi yang stabil menjadi keutamaan Kerajaan Negeri.
Jelas beliau, fokus utama diberikan kepada kawasan luar bandar yang mengalami liputan lemah agar perkhidmatan sekurang-kurangnya bertaraf 4G dapat dinikmati sebelum cuti perayaan bermula.
“Bagi merealisasikan usaha ini. Melaka ICT Holdings Sdn. Bhd. (MICTH) dan CelcomDigi diarah mengambil tindakan interim segera, antaranya MICTH menyasarkan penyiapan lapan buah struktur menara telekomunikasi di kawasan luar bandar secara berperingkat.
“Manakala CelcomDigi pula dipertanggungjawabkan untuk memasang peralatan radio telekomunikasi yang disokong oleh bekalan elektrik sementara genset, di mana ia dijadualkan siap dan beroperasi secara berperingkat pada 16 Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokasi struktur baharu menara telekomunikasi di Kampung Air Repat, Nyalas, di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Melaka Khairol Nizam Mohd Mostar.
Fairul Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Asahan berkata, berdasarkan status terkini, tapak telekomunikasi di Kampung Air Repat, Asahan di bawah CelcomDigi telah siap beroperasi sepenuhnya pada 10 Mac lalu, manakala tujuh lagi tapak interim kini di fasa akhir pemasangan peralatan.
Jelas beliau, tujuh tapak interim itu melibatkan Kampung Batu Gajah, Kampung Chenderah, Kampung Pondok Batang, Kampung Baru Tanah Pinggir Meriang, Kampung Seri Kesang, Kampung Tersusun Datuk Mohd Hidhir, dan Taman Panglima Pak.
Selain itu, ujarnya, tapak di Kampung Jus Permai kini rancak dalam proses kerja-kerja pembinaan.
“Di bawah Maxis pula, sebanyak tiga tapak iaitu Taman Bemban Heights, Asahan, dan Kampung Permatang Tulang telah pun siap beroperasi.
“Bagi sembilan tapak lain termasuk Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Kampus UiTM Alor Gajah, Kampung Kuala Linggi, Kampung Beringin / Parit Melana, Jalan Lesung
Batu, Kolej Profesional MARA, Kampung Paya Lebar, Hutan Botanikal, dan Hospital Jasin, proses permohonan tanah, penyediaan cadangan teknikal, serta kelulusan melalui Pusat Setempat (OSC) sedang digiatkan bagi memastikan kerja fizikal dapat dimulakan segera,” tambahnya.
Beliau berkata, bagi menjamin keberkesanan inisiatif perkhidmatan 4G interim, agensi-agensi berkaitan iaitu MCMC, MICTH, serta wakil-wakil Telco diarah segera turun padang bagi melaksanakan pemeriksaan dan pengujian secara menyeluruh di tapak-tapak yang telah siap beroperasi.
Jelas beliau, ia bagi memastikan kapasiti dan kualiti perkhidmatan adalah stabil untuk menampung lonjakan trafik data sepanjang cuti Hari Raya Aidilfitri.
“Sebagai langkah pemerkasaan pengguna, warga Melaka dan anak perantau diseru untuk memuat turun dan menggunakan aplikasi pintar MCMC Nexus. Aplikasi rasmi keluaran MCMC ini direka khusus untuk membolehkan orang awam menguji kelajuan internet secara komprehensif (kelajuan muat turun, muat naik, dan ping) merentasi rangkaian.
“Selain itu ia juga boleh melaporkan isu liputan secara masa nyata terus kepada pihak pengawal selia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi, selain memastikan perkhidmatan yang diterima menepati Standard Mandatori Kualiti Perkhidmatan (MSQoS),” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


