Sorting by

×

AJAL KETIKA MEMANCING, WARGA EMAS DITEMUKAN LEMAS DI SUNGAI GADEK

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

GADEK 2 Oktober – Misteri kehilangan seorang lelaki warga emas yang kali terakhir keluar memancing di Sungai Gadek berakhir, selepas mayatnya ditemukan lemas di lokasi itu.

Mangsa, Othman Ahmad, 76, dilaporkan hilang oleh anak saudaranya kira-kira jam 8.49 malam dan hanya basikalnya dilihat di tebing sungai.

Ketua Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Penguasa Bomba Tc. Zulkhairani Ramli berkata, pihaknya tiba di lokasi kira-kira jam 9 malam sejurus menerima panggilan berhubung insiden itu.

Menurut beliau, seramai 25 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan dibantu Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari BPP Melaka Tengah telah digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat.

“Sebaik tiba, pasukan PDPA telah diturunkan dengan lebih cepat dan tumpuan diberikan kepada kawasan dipercayai mangsa terjatuh.

“Operasi pencarian menggunakan teknik ‘Half Circle’ atau ‘Wiper’ tertumpu pada jarak satu meter dari lokasi barangan peribadi mangsa ditinggalkan dan mayatnya ditemui selepas 50 minit operasi berjalan,” katanya.

Menurut Zulkhairani, mayat mangsa ditemui di kawasan berkedalaman dua meter dalam keadaan terlangkup di dasar sungai.

“Anak saudaranya memaklumkan, mangsa mempunyai sejarah berkaitan penyakit sawan dan jantung dan tidak pulang ke rumah sejak petang semalam.

“Selain bomba, operasi turut dibantu Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Beliau berkata, mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

720
Kongsi :
Previous post PESARA WANITA DI MIRI RUGI RM2.24 JUTA DITIPU SINDIKET PENIPUAN PANGGILAN TELEFON
Next post MELAKA KECAM GANGGUAN KONVOI SUMUD FLOTILLA, GESA EMPAT TINDAKAN – KM