Sorting by

×

AKSI TANGKAPAN BERSENJATA TULAR, POLIS MOHON ORANG RAMAI TIDAK PANIK

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

PAYA RUMPUT 19 November – Kehadiran sekumpulan individu yang didakwa cuba melakukan tangkapan bersenjata menggemparkan orang awam di sekitar Stadium Hang Jebat, di sini, petang semalam.

Aksi itu menarik perhatian pengguna jalan raya kerana menyangka berlakunya kejadian jenayah sehingga kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagak reaksi dalam kalangan netizen.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit menjelaskan, kejadian yang tular menerusi video berdurasi 45 saat itu hanyalah latihan latihan amal membabitkan simulasi operasi menyelamatkan tebusan orang kenamaan (VIP).

Beliau berkata, latihan sekitar jam 6.30 petang itu membabitkan seramai 45 anggota yang bertindak sebagai pihak musuh termasuk pihak berkuasa dengan penggunaan beberapa kenderaan latihan.

“Proses rundingan yang dijalankan dalam simulasi berakhir tanpa persetujuan musuh dan seterusnya memerlukan tindakan taktikal oleh pasukan penyelamat.

“Simulasi selama 45 minit adalah Latihan Pengiring Orang Kenamaan (POK) Kursus Tempur Jarak Dekat Siri TJD/1/2025 oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berlangsung sejak 10 hingga 22 November,” katanya menerusi satu kenyataan.

Menurut Christopher, latihan itu merangkumi pergerakan konvoi, pengiring VIP, kawalan keselamatan dan simulasi ancaman di beberapa lokasi tumpuan antaranya sekitar Ayer Keroh, Bandar Hilir, Klebang dan Simpang Ampat.

“Semua anggota terlibat lengkap dengan peralatan keselamatan latihan serta dibekalkan peluru ‘blank’ bagi tujuan simulasi dan kawad taktikal.

“Sepanjang tempoh latihan, kenderaan terlibat akan menggunakan riben hijau serta anggota penuntut bersama jurulatih memakai pas pengenalan kelabu serta pengenalan tentera (MyTentera) bagi tujuan pengesahan,” katanya.

Jelas beliau, sepanjang latihan berlangsung pihak polis sentiasa membantu memastikan latihan dijalankan dalam keadaan selamat dan tidak mengganggu ketenteraman awam.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak panik jika terserempak konvoi bersenjata atau terdengar bunyi tembakan kosong,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

533
Kongsi :
Previous post PSH MELAKA GIAT ANJUR KEMPEN KESEDARAN KESIHATAN